KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan berdepan pertuduhan terhadapnya yang dipercayai berkaitan kesalahan membabitkan pengisytiharan aset di mahkamah esok.
Peguamnya, Datuk Amer Hamzah Arshad berkata, keadaan kesihatan Ahli Parlimen Bera itu kini semakin baik selepas dibenarkan keluar dari Institut Jantung Negara (IJN).
“Insya-Allah, kesihatan Datuk Seri Ismail semakin baik dan beliau sudah dibenarkan pulang ke rumah.
“Beliau akan hadir ke mahkamah esok dan dijangka tiba sebelum jam 9 pagi,” katanya kepada media hari ini.
Ismail Sabri, 66, sebelum ini mengalami masalah kesihatan ketika diambil keterangan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan kemudian digegaskan ke IJN.
Beliau kemudian mendapatkan rawatan di IJN dan menjalani satu prosedur berkait masalah degupan jantung tidak sekata (arrhythmia).
Pada 7 Ogos lalu, pendakwaan terhadap Ismail Sabri yang sepatutnya berlangsung ditangguhkan ke esok.
Hakim Suzana menetapkan tarikh 27 Ogos itu selepas Ismail Sabri memohon penangguhan berikutan menerima rawatan di IJN.
Sebelum ini, Ismail Sabri dipanggil beberapa kali bagi untuk diambil keterangan berkenaan pengisytiharan harta yang dibuat oleh beliau kepada SPRM.
SPRM turut merampas wang tunai RM170 juta dalam pelbagai mata wang asing serta menyita 16 kilogram jongkong emas tulen yang dianggarkan bernilai RM7 juta, berhubung siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram terhadap beliau.
Rampasan dilakukan semasa penggeledahan di kediaman dan pejabat yang dipercayai dijadikan safe house hasil siasatan ke atas empat pegawai kanan Ismail Sabri yang ditahan pada Februari 2025. – PentasDaily

