KUALA LUMPUR: Pengerusi Eksekutif Aman Palestin Berhad, Abdullah Zaik Abdul Rahman melafazkan `Alhamdulillah’ di dalam kamar mahkamah semasa keputusan dibacakan Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, semalam.
Ia selepas mahkamah itu menolak permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk melucutkan hak ke atas wang di dalam 12 akaun bank milik Aman Palestin yang telah dibekukan sebelum ini berjumlah RM21 juta, AS$139,650.68 dan 1 kilogram (kg) jongkong emas.
Di hadapan Hakim Datuk Seri Latifah Mohd Tahar, mahkamah mendapati pemohon gagal membuktikan wang dalam akaun-akaun bank dan pembelian jongkong emas berkenaan sebagai perlakuan salah di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).
Keputusan itu sekali gus memihak kepada Aman Palestin melalui proses perundangan yang telus dan adil oleh mahkamah.
Sementara itu, Abdullah Zaik berkata, Aman Palestin sememangnya memilih untuk membersihkan nama pertubuhan tersebut melalui jalan perundangan.
Tambahnya, beliau berharap dengan keputusan yang diterima semalam itu dapat mengembalikan persepsi positif daripada masyarakat terhadap Aman Palestin.
Menerusi hantaran di Facebook Aman Palestin, beliau turut melahirkan rasa terharu kerana harapan untuk meneruskan legasi perjuangan membantu rakyat Palestin dapat diteruskan dengan sokongan yang tidak putus-putus daripada rakyat Malaysia.
Apatah lagi, ujarnya, dalam keadaan sukar yang berlaku pada hari ini.
Dalam masa sama, beliau juga memohon dan mengajak masyarakat untuk melihat semula hasil dan pembangunan yang telah dijayakan oleh Aman Palestin sejak 22 tahun lalu sehingga ke hari ini.
Menurut Abdullah Zaik, SPRM juga telah menjalankan tanggungjawab dengan baik dan pihak Aman Palestin telah memberikan kerjasama sepenuhnya sepanjang siasatan tersebut.
Sehubungan itu, beliau berharap tiada pihak yang mengambil kesempatan melontarkan persepsi negatif untuk memutarbelitkan cerita.
Tambah hantaran itu lagi, Abdullah Zaik dan seluruh warga Aman Palestin Berhad juga berterima kasih kepada barisan peguambela yang diketuai oleh Datuk Zamani Ibrahim, Datuk Hisyam Teh Pok Teik dan Datuk M Athimulan yang telah bertungkus lumus untuk mendapatkan kejayaan dalam kes tersebut.
Beliau turut mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk sentiasa menyokong serta mendoakan kesejahteraan rakyat Palestin. – PentasDaily

