Foto: FB Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR: Kutipan filem tempatan di bawah Skim Wajib Tayang meningkat daripada RM125.28 juta pada 2024 kepada RM253.31 juta pada 2025.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, ini membuktikan karya tempatan yang berkualiti, kompetitif dan dekat dengan hati rakyat akan terus mendapat sokongan penonton.

Pada masa sama, ujar beliau, kemajuan industri mesti turut dirasai mereka yang bekerja di belakang tabir.

“Melalui pindaan Akta FINAS dan Dasar Filem Negara 2026–2035, kita akan terus memperkukuh profesionalisme industri, termasuk aspek kontrak, pembayaran yang adil dan tepat pada masanya serta perlindungan sosial buat penggiat seni,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Terdahulu, Fahmi menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kesudian merasmikan Menara FINAS Damansara semalam, iaitu mercu baharu industri perfileman negara.

Fahmi turut berkongsi ucapan Perdana Menteri yang menyeru supaya penggiat industri kreatif untuk terus berani meneroka teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI), animasi dan digital, tanpa meninggalkan nilai, budaya serta jati diri Malaysia.

Turut bersama dalam program itu ialah Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah, serta warga FINAS dan para penggiat industri kreatif tanah air.

“Insya-Allah, kita akan terus memperkukuh ekosistem industri, menjaga kebajikan penggiat seni dan membuka lebih banyak ruang untuk karya Malaysia pergi lebih jauh,” katanya. – PentasDaily

By Editor3

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *