KUALA LUMPUR: Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengingatkan orang ramai agar tidak menerbangkan dron tanpa kelulusan di lokasi-lokasi sambutan dan perarakan di seluruh negara sempena persiapan dan sambutan Hari Kebangsaan 2026 bermula esok hingga 31 Ogos ini.
CAAM dalam kenyataan memaklumkan, larangan itu bertujuan memastikan persiapan dan sambutan Hari Kebangsaan dapat dilaksanakan dengan selamat.
Selain itu, katanya, ia juga bagi mengelak berlakunya sebarang kejadian tidak diingini membabitkan aspek keselamatan orang awam.
“Larangan ini juga bertujuan untuk mengelak risiko kemalangan terhadap pesawat-pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang menjalankan latihan dan pertunjukan penerbangan formasi rendah di beberapa lokasi sambutan Hari Kebangsaan di seluruh negara sepanjang tarikh yang dinyatakan tersebut,” katanya hari ini.
Dalam masa sama, CAAM mengingatkan bahawa sebarang aktiviti penerbangan termasuk pengendalian aktiviti dron yang boleh mengundang risiko serta bahaya kepada orang awam atau harta benda adalah tertakluk di bawah seksyen 4 Akta Penerbangan Awam 1969 (Akta 3); peraturan 98, peraturan 140-144, Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016 dan Civil Aviation Directives (CADs).
“Sebarang pertanyaan lanjut boleh hubungi Unit UAS CAAM di alamat emel uas@caam.gov.my atau layari laman sesawang www.caam.gov.my,” katanya. – PentasDaily

