KATHMANDU: Ketika air bah mula mengganas dan ancaman bencana semakin dekat, seorang guru di Nepal bertindak pantas mengambil keputusan yang akhirnya menyelamatkan 1,643 murid daripada kemungkinan menjadi mangsa banjir besar.
Pengetua Sekolah Menengah Tribhuvan Trishuli, Rajendra Dadabi, 47, menerima amaran mengenai keadaan kritikal di kawasan hulu sungai ketika kira-kira 900 murid sedang berada di sekolah, manakala ratusan lagi dalam perjalanan.
Tanpa membuang masa, Dadabi mengarahkan loceng sekolah dibunyikan dan semua guru membawa murid keluar dari bilik darjah menuju ke kawasan lebih tinggi.
Beliau turut menghubungi pemandu bas sekolah yang membawa murid dan mengarahkan mereka berpatah balik sebelum laluan terbabit ditenggelami arus deras.
Keputusan berani itu dibuat ketika keadaan masih kelihatan terkawal, namun beberapa ketika kemudian banjir besar melanda kawasan berkenaan, membawa arus deras bersama lumpur, batu dan serpihan.
Kesemua 1,643 murid berjaya diselamatkan, manakala sekolah serta beberapa kemudahan di kawasan terbabit mengalami kerosakan akibat bencana.
Tindakan pantas Dadabi kini menjadikannya antara wira dalam tragedi banjir berkenaan, selepas keputusannya dalam tempoh singkat berjaya mengelakkan ribuan murid daripada berdepan risiko kehilangan nyawa.
Dadabi berkata, beliau hanya melakukan apa yang dirasakan perlu selepas menerima amaran mengenai bahaya yang datang dari kawasan hulu.
Namun, ketika bencana melanda dan ramai penduduk berdepan ancaman maut, keputusan seorang guru untuk tidak mengambil risiko membuktikan bahawa keberanian tidak semestinya hadir dengan kekuatan luar biasa.
Kadangkala, seorang guru yang peka, berani membuat keputusan dan bertindak pada saat tepat sudah cukup untuk menjadi wira kepada ribuan nyawa.
Kisah Dadabi kini menjadi sisi kemanusiaan yang paling menyentuh daripada tragedi banjir Nepal, apabila seorang pendidik membuktikan bahawa tugas menjaga anak murid tidak berakhir apabila loceng persekolahan berbunyi.
Rajendra Dabadi (gambar kecil) dan kawasan tapak sekolahnya yang musnah sepenuhnya akibat banjir lumpur di Nepal. – PentasDaily

