META Platforms bersetuju membayar sehingga AS$18 bilion (RM72.48 bilion) dalam tempoh 10 tahun dan untuk melaksanakan kawalan penggunaan lebih ketat terhadap remaja di Facebook dan Instagram, susulan penyelesaian tuntutan undang-undang di Amerika Syarikat.
Persetujuan itu menamatkan perbicaraan berprofil tinggi di mahkamah persekutuan di Oakland, California, yang melibatkan hampir semua negeri di Amerika Syarikat. Pihak pendakwa sebelum ini menuntut sehingga AS$200 bilion (RM805.5 bilion) sebagai penalti sivil terhadap syarikat berkenaan.
Tuntutan tersebut dibuat selepas Meta didakwa merekabentuk ciri platformnya, termasuk tatalan tanpa penghujung, pemberitahuan dan algoritma penglibatan, bagi memastikan pengguna muda terus menggunakan perkhidmatannya.
Pendakwa turut mendakwa Meta menyembunyikan hasil penyelidikan dalaman berkaitan kesan platformnya terhadap kesihatan mental golongan muda, termasuk kebimbangan, kemurungan dan isu imej tubuh.

Selain itu, 29 negeri mendakwa Meta melanggar undang-undang perlindungan privasi kanak-kanak dengan mengumpul data peribadi kanak-kanak berusia bawah 13 tahun tanpa kebenaran ibu bapa, termasuk bagi melatih model kecerdasan buatan (AI) generatifnya.
Sebagai sebahagian daripada perjanjian penyelesaian selama 10 tahun itu, akaun remaja di Facebook dan Instagram akan dikenakan had ‘penggunaan leka’ selama dua jam sehari bagi kedua-dua platform.
Akses kepada kedua-dua platform juga akan disekat antara tengah malam hingga 6 pagi, kecuali mendapat kebenaran jelas daripada ibu bapa.
Meta turut akan mematikan kebanyakan pemberitahuan pada akaun remaja secara automatik antara 8 pagi hingga 3 petang bagi mengurangkan gangguan ketika waktu persekolahan.
Syarikat itu juga perlu memperkukuh sistem pengesahan umur bagi menghalang golongan bawah umur daripada mengakses kandungan yang mempunyai sekatan umur.
Walaupun bersetuju dengan penyelesaian kewangan dan langkah kawalan penggunaan tersebut, Meta menafikan semua dakwaan salah laku dan menegaskan keselamatan remaja di platformnya kekal sebagai keutamaan.
