KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) memperluas pelaksanaan inisiatif AI-Powered Classroom (AIPC) dalam usaha memperkukuh penguasaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam kalangan guru dan murid.
Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) KPM, Datuk Indera Ikmalrudin Ishak berkata, pelaksanaan AIPC merupakan antara usaha kementerian mengintegrasikan teknologi AI dalam proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) selaras dengan keperluan pendidikan digital masa kini.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja dan menyempurnakan peluncuran AIPC di dua sekolah di Kuala Lumpur, iaitu SJKC Sentul dan SK Wangsa Melawati, hari ini.

Dalam program itu, kedua-dua sekolah masing-masing menerima sumbangan RM10,000 bagi menyokong pelaksanaan latihan kompetensi digital dan kecerdasan buatan dalam kalangan murid.
Menurut KPM, inisiatif tersebut turut memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh keupayaan guru dan murid dalam memanfaatkan teknologi AI secara berkesan dalam proses PdP.
Pelaksanaan AIPC dilihat selari dengan perkembangan pendidikan digital yang semakin memerlukan penguasaan teknologi baharu, termasuk AI, dalam persekitaran pembelajaran di sekolah.
Inisiatif berkenaan juga menyokong usaha KPM melahirkan murid yang mempunyai kemahiran digital serta bersedia menghadapi keperluan pendidikan dan dunia pekerjaan yang semakin dipengaruhi perkembangan teknologi.


