KUALA LUMPUR : YouTube memperkenalkan ciri baharu Account Lock pada aplikasi YouTube di TV pintar yang membolehkan pengguna mengunci akaun masing-masing menggunakan kod empat digit.
Ciri itu direka bagi melindungi privasi pengguna pada TV yang dikongsi bersama ahli keluarga, khususnya bagi menghalang orang lain daripada mengakses sejarah tontonan dan cadangan video yang dikaitkan dengan akaun berkenaan.
Menerusi ciri berkenaan, pengguna boleh mengaktifkan kunci akaun melalui menu akaun pada aplikasi YouTube di TV sebelum menetapkan kod PIN empat digit.
Selepas diaktifkan, kod berkenaan diperlukan untuk mengakses akaun tersebut pada TV berkenaan. Jika pengguna terlupa kod, fungsi kunci boleh dinyahaktifkan dengan log masuk menggunakan kelayakan akaun Google.
YouTube turut memperkenalkan Parent Code, iaitu kod empat digit yang membolehkan ibu bapa mengawal akses kanak-kanak pada aplikasi YouTube di TV.

Apabila diaktifkan, kod ibu bapa diperlukan untuk menonton YouTube ketika tidak log masuk, mengakses akaun ahli keluarga yang lebih berusia serta membuang akaun daripada peranti TV.
Menurut YouTube, ciri Account Lock sedang dilancarkan secara berperingkat kepada kebanyakan TV pintar, peranti penstriman dan konsol permainan di seluruh dunia.
Selain ciri keselamatan itu, YouTube turut memperkemas halaman pemilihan profil bagi membolehkan pengguna mengaktifkan kunci akaun atau membuang akaun dengan lebih mudah.
Untuk mengaktifkan Parent Code, pengguna boleh membuka aplikasi YouTube pada TV pintar, memilih Settings, kemudian Parent Code sebelum menetapkan kod empat digit.

