PUTRAJAYA: Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) memaklumkan pihaknya tidak mempunyai makluman mengenai penyelarasan syarat pemilikan institusi pendidikan swasta (IPS) di bawah Kementerian Pendidikan (KPM).
Dalam satu kenyataan hari ini, MITI berkata, perkara berkaitan dasar pemilikan ekuiti Bumiputera adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Ekonomi (EPU).
“MITI berharap penjelasan ini dapat membantu memperbetul peranan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri dalam perkara ini supaya maklumat yang disampaikan kepada pihak awam adalah tepat dan jelas,” katanya.
Semalam, media melaporkan, KPM tidak lagi menetapkan pemilikan sekurang-kurangnya 30 peratus ekuiti Bumiputera sebagai syarat bagi syarikat sendirian berhad yang mengendalikan IPS di bawah kementerian itu.
KPM berkata, penyelarasan berkenaan diputuskan susulan perbincangan dengan MITI bagi memastikan syarat pemilikan IPS selari dengan keperluan semasa sektor pendidikan.
“Susulan sesi perbincangan antara KPM dengan MITI, KPM bersetuju bahawa ketetapan pemilikan sekurang-kurangnya 30 peratus ekuiti Bumiputera tidak lagi ditetapkan sebagai syarat bagi syarikat sendirian berhad yang mengoperasikan IPS bawah KPM,” katanya malam ini dalam kenyataan.
KPM menjelaskan, syarat berkenaan sebelum ini dinyatakan dalam Buku Pernyataan Dasar IPS yang diterbitkan pada 2006 khususnya bagi IPS tertentu yang dimiliki melalui syarikat sendirian berhad.
Menurut KPM, penyelarasan itu mengambil kira keperluan semasa sektor pendidikan selain memastikan ruang penyertaan dalam bidang berkenaan kekal terbuka kepada semua pihak.
“KPM menghargai sumbangan semua pengusaha IPS dan akan terus bekerjasama dengan semua pihak demi kepentingan pendidikan anak-anak Malaysia,” katanya. – PentasDaily

