SUNGAI SIPUT: Seorang lelaki Orang Asli maut dipercayai akibat dibaham harimau belang ketika sedang mencari hasil hutan di Kampung Takung, Pos Perwor, di sini, semalam.
Mayat mangsa, Zamberi Angah, 42, ditemukan jam 6.58 petang di kawasan rumpun buluh berhampiran jalan balak kira-kira 200 meter dari lokasi dipercayai berlaku serangan haiwan liar itu.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lintang, Datuk Mohd Zolkafly Harun, mangsa dikatakan diserang harimau belang ketika sedang mencari hasil rotan di kawasan Hutan Simpan Korbu bersama seorang rakannya.
Terdahalu, katanya, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) menerima aduan mengenai kejadian itu kira-kira jam 4.30 petang, sebelum usaha pencarian mangsa dimulakan kira-kira 6.30 petang.
“Selain PERHILITAN, operasi pencarian turut membabitkan anggota polis dari Balai Polis Lintang, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), bersama kira-kira 30 penduduk kampung serta pekerja pembalakan,” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Menurut Zolkafly, turut ditemukan di lokasi mayat dijumpai adalah kesan tapak harimau belang serta beberapa petunjuk lain.
Jarak antara lokasi dipercayai berlaku serangan dengan tempat mayat mangsa ditemukan dianggarkan kira-kira 200 meter.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Deputi Superintenden Mohd Rohaizimi Razali turut mengesahkan menerima laporan kejadian itu.
Susulan kejadian itu, PERHILITAN Perak dalam satu kenyataan hari ini memakumkan, pihaknya menggerakkan anggota ke Kampung Takung, Pos Perwor, Sungai Siput (U).
Katanya, pasukan itu akan menjalankan usaha pencarian, mendapatkan maklumat awal, melaksanakan pemeriksaan di lokasi serta menjalankan siasatan bagi mengenal pasti keadaan sebenar kejadian.
Operasi turut mendapat kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM); Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA); Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta penduduk setempat.
Menurut PERHILITAN, siasatan masih dijalankan bagi mengesahkan butiran kejadian, termasuk mengenal pasti punca serta keadaan sebenar insiden terbabit.
“Sebarang kesimpulan lanjut akan dibuat berdasarkan hasil siasatan dan bukti yang diperoleh di lapangan,” katanya.
Dalam masa sama, PERHILITAN menasihatkan penduduk di kawasan berhampiran supaya meningkatkan tahap waspada dan mengelak memasuki kawasan hutan atau kawasan dikenal pasti mempunyai tanda-tanda kehadiran harimau belang, khususnya secara bersendirian.
Orang ramai diminta segera melaporkan sebarang penampakan atau tanda kehadiran harimau belang melalui talian 1-800-88-5151 atau Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) di laman sesawang rasmi jabatan. – PentasDaily

