KUALA LUMPUR: PETRONAS bersama rakan usaha samanya berjaya memuktamadkan keputusan pelaburan bagi projek LNG Canada Fasa 2 di Kitimat, British Columbia, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut beliau, keputusan itu membuka jalan kepada pelaburan sektor swasta bernilai CA$33 bilion.
Tambahnya, pembesaran itu bakal menjadikan LNG Canada antara kemudahan gas asli cecair terbesar di dunia, sekali gus memperkukuh bekalan tenaga kepada pasaran antarabangsa.
“Tahniah kepada seluruh warga PETRONAS atas kejayaan ini.
“Keupayaan syarikat negara menjayakan projek tenaga berskala besar bersama rakan antarabangsa turut mencerminkan kepercayaan terhadap kepakaran dan kemampuan Malaysia.
“Penghargaan saya kepada Perdana Menteri Kanada, Mark Carney atas sokongan beliau kepada PETRONAS,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Dalam pada itu, Perdana Menteri turut mengalu-alukan pertemuan bersama PM Carney dan delegasi Kanada pada masa akan datang bagi memperkukuh hubungan persahabatan serta memperluas kerjasama Malaysia-Kanada. – PentasDaily
