KUALA LUMPUR: Microsoft Malaysia menyambut baik komitmen kerajaan menerusi Belanjawan 2027 untuk memperkukuh asas ekonomi kecerdasan buatan (AI), termasuk memperluas penggunaan teknologi itu dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Pengarah Urusan Microsoft Malaysia, Laurence Si, berkata tumpuan kerajaan terhadap pembangunan infrastruktur digital, penerapan AI dalam perniagaan dan pembangunan bakat berkemahiran digital mampu merealisasikan aspirasi Malaysia sebagai Negara AI menjelang 2030.
Beliau berkata, peruntukan dana RM30 juta oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) bagi membantu 4,000 PKS menggunakan AI dan automasi merupakan langkah penting untuk meningkatkan produktiviti serta daya saing perniagaan tempatan.
Menurutnya, manfaat pelaburan itu bergantung pada keupayaan PKS memanfaatkan AI untuk menghasilkan produk dan perkhidmatan baharu, meningkatkan kecekapan operasi serta menembusi pasaran antarabangsa.
“Ketahanan, keselamatan dan peraturan pengurusan data yang jelas serta dipercayai akan membantu PKS menggunakan AI dengan yakin, manakala kerjasama Malaysia dengan negara anggota ASEAN dalam bidang awan dan data rentas sempadan mampu membuka pasaran serantau kepada perniagaan tempatan,” katanya dalam kenyataan.
Dalam pada itu, beliau menyambut baik usaha kerajaan memperluas pembangunan kemahiran AI di peringkat komuniti, termasuk menerusi inisiatif 1Nadi 1 Prompt Engineer bagi melahirkan tenaga mahir dalam bidang berkenaan.
Katanya, Microsoft akan terus memperluas inisiatif pembangunan kemahiran AI seluruh negara, Microsoft Elevate, yang dilancarkan bersama Majlis TVET Negara dan Kementerian Digital pada awal tahun ini.
Beliau berkata, transformasi AI perlu disokong oleh pembangunan kemahiran bagi memastikan rakyat Malaysia bersedia memenuhi keperluan ekonomi digital yang semakin berkembang.
“Fasa seterusnya perjalanan AI Malaysia adalah menterjemahkan penggunaan teknologi itu kepada hasil bermakna untuk perniagaan, rakyat dan komuniti.
“Kejayaan bersama bukan sahaja bergantung pada akses kepada teknologi, tetapi juga pelaburan berterusan dalam infrastruktur dipercayai, pembangunan keupayaan dan inovasi bertanggungjawab yang mampu menghasilkan nilai ekonomi serta sosial jangka panjang,” katanya.
Laurence berkata, Microsoft kekal komited untuk bekerjasama dengan sektor awam dan swasta bagi memperkukuh infrastruktur awan dan AI yang selamat, membangunkan kemahiran masa depan rakyat Malaysia serta membantu organisasi memanfaatkan teknologi itu secara berkesan. – PentasDaily

