matradeMatrade

SHANDONG ; Hubungan perdagangan dua hala antara Malaysia dan China terus menunjukkan momentum kukuh, didorong kerjasama ekonomi dan rantaian bekalan global yang semakin erat.

Kaunselor Menteri dan Pesuruhjaya Perdagangan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) di Kedutaan Malaysia di Beijing Niqman Rafaee M. Sahar berkata hubungan strategik yang erat itu diperkukuhkan lagi menerusi penyertaan pelbagai pihak berkepentingan pada Persidangan Penyumberan Antarabangsa Bandar Perdagangan Linyi edisi keempat yang bermula Rabu.

“Perdagangan dua hala antara Malaysia dan China melonjak 35.1 peratus tahun ke tahun kepada RM456.68 bilion bagi tempoh Januari hingga Ogos 2026.

“Eksport Malaysia turut meningkat 23.7 peratus kepada RM148.56 bilion, mencerminkan pertumbuhan berterusan dalam perdagangan dua hala,” katanya dalam ucapan pembukaan pada persidangan itu hari ini.

Persidangan itu yang berlangsung daripada 28 hingga 30 Oktober disertai 131 delegasi Malaysia yang diketuai Pengarah Pusat Media Bersepadu Persatuan Kemajuan Perdagangan dan Ekonomi Malaysia-China (MCTEAA) Li Xiaoyan.

Persidangan bertemakan ‘Menghubungkan Pasaran Global, Menyumber Produk Berkualiti dari Seluruh Dunia’ dianjurkan oleh Kerajaan Rakyat Perbandaran Linyi sebagai platform utama untuk perniagaan global menjalinkan rangkaian, melaksanakan pemerolehan rentas sempadan dan pelaburan strategik.

Persidangan itu berjaya menarik lebih 5,000 pembeli dalam negara dan antarabangsa ke Linyi untuk meneroka peluang baharu dalam perdagangan antarabangsa dan rantaian bekalan rentas sempadan.

Niqman Rafaee berkata China kekal sebagai rakan dagang terbesar Malaysia, destinasi eksport ketiga terbesar dan sumber import terbesar manakala Malaysia mengekalkan kedudukannya sebagai rakan dagang kedua terbesar China dalam kalangan negara ASEAN.

“Di peringkat wilayah, perdagangan Malaysia dengan Shandong mencecah US$31.9 bilion pada 2025, menjadikannya rakan dagang kedua terbesar Malaysia di China dan pasaran keutamaan bagi promosi perdagangan,” katanya. – BERNAMA

By Editor4

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *