KUALA LUMPUR – Dua anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari Cawangan Khas menafikan dakwaan mereka bertindak sebagai ‘ulat’ atau counter setting ketika berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Sebaliknya, kedua-dua anggota berkenaan mendakwa mereka menjadi mangsa kekasaran fizikal ketika sedang menjalankan tugasan rasmi di KLIA1 pada 28 September lalu.

Perkara itu dinyatakan menerusi peguam mereka, Datuk Kamal Hisham Ja’afar daripada Kamal Hisham & Associates, yang menegaskan dakwaan menjadi ‘ulat’ tidak sepatutnya mengalih perhatian daripada persoalan utama berhubung kejadian berkenaan.

Menurut beliau, sebarang dakwaan terhadap anak guamnya perlu disokong bukti dan tidak boleh digunakan untuk membentuk kesimpulan sebelum siasatan pihak berkuasa selesai.

“Anak guam kami berada di KLIA bagi menjalankan tugasan rasmi dan kejadian itu berlaku di tempat awam sehingga didakwa menyebabkan kecederaan serta menjejaskan maruah mereka sebagai anggota penguat kuasa.

“AKPS bukan sebahagian daripada PDRM. Kedua-dua agensi mempunyai fungsi dan bidang kuasa masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kamal Hisham berkata, berdasarkan fakta serta keterangan yang dikemukakan kepada pihak berkuasa, kejadian itu berpotensi disiasat mengikut peruntukan undang-undang termasuk Seksyen 186 Kanun Keseksaan berkaitan menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan berhubung sengaja menyebabkan kecederaan.

Bagaimanapun, beliau menegaskan sebarang penentuan kesalahan adalah bidang kuasa pihak berkuasa selepas mengambil kira keseluruhan bukti dan hasil siasatan.

Kedua-dua anggota itu turut meminta orang ramai tidak membuat sebarang kesimpulan berdasarkan naratif yang masih belum disahkan, sebaliknya memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan secara bebas, telus dan menyeluruh.

Mereka juga menegaskan bahawa tiada mana-mana individu, tanpa mengira pangkat atau kedudukan, sepatutnya dianggap kebal daripada undang-undang atau dibenarkan menggunakan kekerasan terhadap penjawat awam yang sedang menjalankan tugas.

Dalam perkembangan sama, pihak peguam menggesa siasatan terhadap insiden berkenaan diselesaikan secara telus dan segera, selain meminta sebarang tindakan undang-undang dibuat berdasarkan bukti yang diperoleh.

Kes itu sebelum ini mendapat perhatian selepas rakaman video tular di media sosial memaparkan Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, berdepan dengan dua lelaki berpakaian preman di satu ruang khas di KLIA.

Rakaman berkenaan turut memaparkan seorang daripada lelaki terbabit kelihatan ditarik pada bahagian telinga, manakala laporan polis yang didakwa dibuat oleh salah seorang individu terbabit turut tersebar di media sosial.

AKPS sebelum ini mengesahkan ketulenan rakaman itu dan menjelaskan kejadian berlaku ketika Mohd Shuhaily melakukan pemeriksaan persiapan di KLIA menjelang Grand Prix Bahrain.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail dilaporkan berkata polis sudah mengambil keterangan 25 saksi bagi membantu siasatan, termasuk anggota polis, kakitangan AKPS, polis bantuan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), pengendali bagasi, pegawai perubatan serta orang awam.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan.

Pihak peguam berharap semua pihak tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh mempengaruhi proses siasatan dan menyerahkan penentuan fakta serta tindakan selanjutnya kepada pihak berkuasa.

By Editor4

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *