Tabung Haji

KUALA LUMPUR: Sistem dan perkhidmatan utama Lembaga Tabung Haji (TH) telah pulih selepas gangguan susulan serangan siber yang menjejaskan urusan pendeposit sejak 8 Oktober lalu.

TH dalam kenyataannya memaklumkan, pemulihan itu dilakukan selepas pemeriksaan keselamatan menyeluruh, pengukuhan kawalan serta langkah pemulihan sistem dilaksanakan bagi memastikan keselamatan simpanan dan maklumat peribadi pendeposit.

Bagi menangani insiden berkenaan, TH sebelum ini menggantung sementara operasi sistem dan perkhidmatannya di semua saluran sebagai langkah berjaga-jaga.

“Sejak kejadian tersebut, pasukan dalaman TH bekerjasama dengan pakar luar serta pihak berkuasa keselamatan siber negara bagi menyiasat serangan, menangani ancaman dan memulihkan sistem yang terjejas,” jelas kumpulan berkenaan.

TH menyifatkan insiden itu sebagai perbuatan jenayah terhadap institusi berkenaan dan negara.

Justeru, laporan polis turut dibuat, selain aduan kepada Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dan Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP).

Dari segi operasi cawangan, perkhidmatan di Kedah, Terengganu dan Kelantan disambung semula pada 11 Oktober, manakala cawangan di negeri lain kembali beroperasi seperti biasa hari ini.

“Perkhidmatan menerusi bank rakan strategik TH juga telah diaktifkan semula, menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, TH meminta pendeposit yang mengesan transaksi luar biasa atau sebarang perkara mencurigakan dalam akaun masing-masing supaya segera melaporkannya kepada pihak berkenaan.

Sebarang pertanyaan atau permohonan bantuan boleh disalurkan kepada Pusat Perhubungan TH (THCC) menerusi talian 03-6207 1919.

TH turut memohon maaf atas kesulitan yang dialami pendeposit sepanjang tempoh pemulihan, khususnya mereka yang mempunyai urusan kewangan mendesak, selain merakamkan penghargaan atas kesabaran dan kerjasama diberikan.

TH menegaskan keselamatan simpanan serta kepentingan pendeposit kekal menjadi keutamaan utama institusi itu. – PentasDaily

By Editor4

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *