Blood Brothers: Banggakan Malaysia di Pentas APFF62 di
KUALA LUMPUR – Filem aksi tempatan Blood Brothers: Bara Naga menghadiahkan detik manis buat industri perfileman negara apabila merangkul Special Jury Award pada Festival Filem Asia Pasifik ke-62 (APFF62) yang berlangsung semalam.
Kemenangan itu sekali gus mengangkat nama Malaysia di mata penggiat sinema serantau pada acara berprestij yang berlangsung di Auditorium Bandaraya, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.
Festival anjuran Federation of Motion Picture Producers in Asia-Pacific (FPA) dengan kerjasama FINAS, Tourism Malaysia dan Lomo Pictures itu menyaksikan perhimpunan terbesar karyawan filem, selebriti antarabangsa serta tenaga kreatif dari seluruh Asia Pasifik dalam suasana penuh meriah dan berwarna-warni.
Turut menerima penghormatan sama ialah pelakon Malaysia, Syafiq Kyle yang dinobatkan dengan Anugerah Rising Icon APFF (Kategori Lelaki).
Pertandingan kali ini menyaksikan 12 karya dari Iran, Indonesia, Singapura, Jepun, China, Nepal, Bangladesh, India, Thailand dan Korea bersaing sengit, antara yang terhebat dalam sejarah penganjuran.
Antaranya termasuk 6AM, Crocodile Tears, Happyend, LUZ, Shambhala, Saba, The Roots, Shadowbox serta Regretfully at Dawn.

Menyemarakkan lagi penganjuran tahun ini, dua nama besar diumumkan sebagai penerima anugerah utama: aktor legenda Hong Kong, Simon Yam yang diberi pengiktirafan Lifetime Achievement Award dan bintang muda Thailand yang meningkat naik popularitinya menerusi The Perfect Couple dan Meteor Garden, Tontawan Tantivejakul, sebagai penerima FPA Asia-Pacific Rising Icon Award (Kategori Wanita).
Setiausaha Agung FPA, Pansha berkata pemilihan Syafiq adalah hasil penilaian sebulat suara jawatankuasa kecil penganjur berdasarkan prestasi cemerlangnya dalam industri perfileman tanah air.
“Anugerah ini diperkenalkan tahun ini bagi menaikkan lagi taraf APFF yang kini memasuki edisi ke-62.
“Kami sebulat suara memilih Syafiq bagi memberi peluang kepada pelakon muda pula. Kita tidak mahu setiap tahun hanya pelakon veteran diiktiraf,” katanya kepada media.

Penganjuran APFF62 bukan sekadar medan meraikan hasil seni, tetapi membuktikan kekuatan industri perfileman Asia Pasifik yang terus mendapat perhatian antarabangsa.
Dengan Malaysia turut membawa pulang pengiktirafan menerusi Blood Brothers: Bara Naga, festival ini menandakan satu lagi langkah maju untuk sinema tempatan.
Sekaligus, Kuala Lumpur tampil sebagai hos bertaraf antarabangsa, memperkukuh kedudukan negara sebagai antara pusat penting industri kreatif serantau.
Pansha turut menyifatkan Syafiq atau nama sebenar Mohd Syafiq Shamim Abdul Razak, 33, kini berpotensi untuk menembusi pasaran Asia.
Selain kejayaan Blood Brothers: Bara Naga, festival ini turut menobatkan beberapa anugerah khas lain, antaranya:
FPA Most Promising Icon Award: Lin Min Chen (Malaysia)
FPA Cultural Impact Award: Kungfu Juniors arahan Gao Zhisen
Pengiktirafan itu menzahirkan komitmen APFF62 mengangkat kepelbagaian budaya dan kekuatan naratif dari seluruh rantau.
Senarai Pemenang APFF62
Filem Pendek Terbaik: Come Find Me
Media Baharu Terbaik:
Skor Muzik Asal Terbaik: Shambhala
Suntingan Terbaik: LUZ
Skrip Asal Terbaik: Shadowbox
Sinematografi Terbaik: Happyend
Pelakon Pembantu Wanita Terbaik: Rokeya Prachy – Saba
Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik: Xiao Dong Guo – LUZ
Pelakon Wanita Terbaik: Tillotama Shome – Shadowbox
Pelakon Lelaki Terbaik: Yukito Hidaka – Happyend
Pengarah Terbaik: Neo Sora – Happyend
Filem Terbaik: Crawling Crows: AANKHA