Dewan Perniagaan Datuk Dato Malaysia Perkukuh Hubungan Strategik Dengan Melaka
2 mins read

Dewan Perniagaan Datuk Dato Malaysia Perkukuh Hubungan Strategik Dengan Melaka

PUTRAJAYA – Dewan Perniagaan Datuk Dato Malaysia (DPDDM) terus mengukuhkan jalinan hubungan strategik dengan kepimpinan negeri Melaka melalui lawatan kerja rasmi ke Pejabat Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam, baru-baru ini.

Lawatan tersebut, yang berlangsung dalam suasana profesional merupakan usaha DPDDM untuk menyokong agenda pembangunan ekonomi negeri selain merapatkan jaringan kerjasama antara komuniti perniagaan nasional dan pentadbiran negeri.

Delegasi DPDDM yang diketuai Presidennya, Datuk Nor Hasnal Hashmi bersama barisan kepimpinan tertinggi mengadakan sesi perbincangan komprehensif bersama TYT, menyentuh beberapa fokus utama termasuk pengukuhan hubungan strategik, potensi pelaburan baharu yang selari dengan aspirasi pembangunan Melaka serta usaha pemerkasaan usahawan tempatan.

Menurut Datuk Nor Hasnal, lawatan itu selaras dengan peranan DPDDM sebagai pemudah cara utama dalam ekosistem perniagaan negara.

“DPDDM sentiasa mengambil langkah proaktif bagi memastikan visi ahli kami bergerak seiring dengan keperluan pembangunan negeri.

“Kami sentiasa komited menjadi jambatan yang menghubungkan peluang ekonomi dengan aspirasi negeri secara berkesan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pertemuan delegasi DPDDM bersama Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam baru-baru ini.

Delegasi rasmi DPDDM turut disertai Timbalan Presiden, Datuk Sazelan Arbi Bashah; Setiausaha Kehormat, Datin Ezy Ezlyana Ostman; Bendahari, Datuk Md Isa Abdul Rashid; Pegawai Strategi Pemasaran DPDDM, Zainal Yusof dan Penasihat DPDDM, Datin Nur Shafiqah Noor Azmi.

Dalam pertemuan itu, DPDDM turut mengemukakan dua permohonan utama kepada TYT.

“Kami memohon pertimbangan pemberian Kuota Khas pencalonan Darjah Kebesaran Negeri Melaka bagi ahli DPDDM yang berkelayakan dan telah menunjukkan sumbangan signifikan kepada negara dan negeri.

“Permohonan ini juga akan membantu memperkemas proses pencalonan selaras dengan struktur kepimpinan DPDDM,” jelasnya.

Datuk Nor Hasnal Hashmi (kiri) bergambar bersama TYT Melaka, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam.

Selain itu, DPDDM turut menyampaikan jemputan rasmi kepada TYT untuk menghadiri Majlis Makan Malam Jalinan Mesra di Kuala Lumpur yang bakal menghimpunkan tokoh korporat dan pemimpin nasional.

Majlis berkenaan dijangka diadakan di Hotel Concorde Kuala Lumpur sepertimana dicadangkan oleh TYT melibatkan tokoh korporat terkemuka, Tan Sri Datuk Seri Syed Mohd Yusof Tun Syed Nasir atau lebih dikenali sebagai Tan Sri Jojo.

DPDDM menegaskan lawatan berkenaan bukan sahaja mengukuhkan hubungan dua hala malah membuka ruang kepada agenda kerjasama yang lebih strategik dan mampan antara DPDDM dan Negeri Melaka pada masa hadapan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *