Titah Tengku Mahkota Pahang wajar diperhalusi Putrajaya, kata Pemuda Umno Bera
BERA : Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Bera mahu keperluan negeri Pahang diberikan perhatian sewajarnya oleh Kerajaan Persekutuan terutama dalam aspek pembangunan dan kebajikan rakyat.
Ketua Pemuda UMNO Bahagian Bera, Nashriq Ismail Sabri berkata, sebagai negeri yang luas dan mempunyai peranan besar dalam pembangunan negara, Pahang memiliki kekuatan dalam sektor pelancongan, pertanian, sumber asli serta pelaburan yang turut menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.
Menurut beliau, segala perkara yang dibangkitkan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah yang menzahirkan wajar diberikan perhatian dan diperhalusi dengan penuh hikmah oleh Kerajaan Pusat demi kepentingan rakyat serta pembangunan negeri.
“Saya yakin setiap permintaan dan pandangan yang dikemukakan baginda bertujuan memastikan pembangunan negeri Pahang dapat dipercepatkan demi manfaat rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut berharap perhatian lebih besar dapat diberikan terhadap pembangunan Pahang kerana ia bukan sahaja memberi manfaat kepada rakyat negeri itu, malah turut menyumbang kepada kemakmuran Malaysia secara keseluruhan.
Bernama sebelum ini melaporkan, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata beliau akan meminta Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan menyediakan penjelasan menyeluruh berhubung peruntukan kerajaan persekutuan kepada Pahang, untuk dikemukakan kepada Tengku Hassanal.
Tengku Hassanal juga akan diberikan penerangan berkaitan kedudukan makroekonomi negara, tekanan ekonomi semasa dan isu pembaziran yang masih berlaku dalam pelbagai sektor.