VIDA Lancar ID FraudShield di Money20/20 Asia 2026 Atasi Penipuan Siber
2 mins read

VIDA Lancar ID FraudShield di Money20/20 Asia 2026 Atasi Penipuan Siber

BANGKOK, 29 April 2026 – Penipuan siber kini berkembang menjadi operasi berskala industri di Asia Tenggara, sekali gus menjadikan pendekatan keselamatan identiti tradisional tidak lagi memadai.

Perkara itu didedahkan oleh syarikat identiti digital dari Indonesia, VIDA, semasa persidangan kewangan global Money20/20 Asia 2026 yang berlangsung di sini dari 21 hingga 23 April lalu.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Niki Luhur, berkata jenayah siber kini beroperasi secara tersusun dan merentas sempadan, melibatkan sindiket di beberapa negara termasuk Myanmar, Thailand dan Indonesia.

Menurut beliau, dalam satu kes, pihak berkuasa di Myanmar merampas mata wang kripto Bitcoin bernilai AS$12 bilion, menggambarkan skala besar operasi penipuan berkenaan.

Niki Luhur

“Jenayah siber bersifat demokratik. Ia tidak mengambil kira saiz institusi, sebaliknya hanya mengeksploitasi setiap kelemahan yang ada,” katanya dalam sesi panel bertajuk How Cybercriminals Target Fintech and What’s Next.

Beliau menjelaskan, sindiket kini tidak lagi menyasarkan institusi tertentu, sebaliknya menumpukan kepada kelemahan sistem yang boleh diulang dan diskalakan merentas pelbagai platform digital.

Mengulas ancaman semasa, Niki berkata perhatian umum terhadap teknologi pemalsuan wajah (deepfake) sebenarnya menutup risiko lebih besar dalam rantaian serangan, khususnya serangan suntikan (injection attacks).

“Pemalsuan wajah mungkin menjadi tumpuan, namun pintu masuk utama ialah serangan suntikan, kebanyakannya melalui kamera maya pada peranti yang telah dikompromi,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menekankan keperluan pendekatan keselamatan berlapis yang menggabungkan tiga elemen utama iaitu pengesahan biometrik individu, pengesahan identiti melalui pangkalan data kerajaan, serta kepercayaan terhadap peranti yang digunakan.

Pendekatan tersebut dilihat mampu menutup jurang dalam sistem Kenali Pelanggan Anda (KYC) yang ketika ini masih beroperasi secara terasing antara institusi kewangan.

Dalam perkembangan sama, VIDA turut melancarkan penyelesaian baharu dikenali sebagai ID FraudShield bagi memperkukuh keupayaan pengesanan penipuan.

Sistem itu menggabungkan analisis biometrik, kecerdasan peranti, tingkah laku pengguna, pemantauan rangkaian serta penilaian berasaskan peraturan dalam satu platform bersepadu menerusi kit pembangunan perisian (SDK).

Menurut VIDA, penyelesaian tersebut direka khusus untuk mengesan bentuk penipuan yang tidak lagi dapat dikenal pasti melalui pengesahan biometrik konvensional semata-mata.

Mengenai VIDA

Ditubuhkan pada 2018, VIDA merupakan Pihak Berkuasa Pensijilan (CA) berlesen di bawah Kementerian Komunikasi dan Hal Ehwal Digital Indonesia. Syarikat itu menyediakan perkhidmatan identiti digital merangkumi sijil elektronik, tandatangan digital, pengesahan identiti dan transaksi berasaskan piawaian keselamatan global termasuk Infrastruktur Kunci Awam (PKI).

VIDA kini mengesahkan lebih 2.5 juta identiti setiap hari.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *