Sebelum Terbang Cuti, “Rehatkan” Kediaman Anda Dengan Cara Ini
(4 perkara mudah yang patut anda buat sebelum tinggalkan rumah ketika bercuti)
PERASAAN teruja menjelang cuti sering membuatkan kita lupa satu perkara penting. Rumah kesayangan yang bakal kita tinggalkan. Sama ada anda akan menikmati hujung minggu panjang di tepi pantai atau berbulan madu di luar negara, rumah juga perlukan “rehat” yang selamat dan teratur.
Jadi sebelum kunci pintu dan tarik bagasi ke kereta, luangkan sedikit masa untuk “merehatkan” rumah anda dengan empat langkah mudah ini. Ia bukan sahaja mampu menjimatkan tenaga, malah boleh mengelakkan anda daripada disambut bau kurang enak atau bil elektrik yang melambung bila pulang nanti.
1. Matikan Peralatan Elektrik Yang Tidak Diperlukan
Ramai yang tak sedar, walaupun sudah menekan butang “off”, banyak peralatan rumah masih menyedut tenaga elektrik diam-diam.
Pakar tenaga menyebut peralatan seperti TV, mesin basuh, ketuhar gelombang mikro, pengering pakaian dan mesin basuh pinggan adalah antara “peranti pemakan tenaga” yang terus menggunakan kuasa walaupun dalam mod sedia.
Contohnya, televisyen yang anda biarkan dalam standby mode boleh menelan sehingga RM30 setahun (anggaran kadar tarif Malaysia) jika dibiarkan “hidup dalam diam”.
Jadi, sebelum berangkat cabut dahulu palam dari soket atau matikan suis utama bagi setiap peralatan yang tidak perlu beroperasi.
Namun, jangan pula matikan peti sejuk, ya! Walaupun ia menyumbang sekitar 12% daripada bil tenaga rumah, ia mesti terus berfungsi untuk mengelakkan makanan rosak dan dapur berbau tidak menyenangkan bila anda pulang.

2. Biarkan Pintu Mesin Basuh & Mesin Pinggan Sedikit Terbuka
Langkah ini sering diabaikan, tetapi sebenarnya penting untuk mengekalkan kebersihan dan kesegaran dapur. Mesin basuh dan mesin pinggan adalah kawasan lembap yang mudah menjadi tempat pembiakan kulat serta bakteria.
Pakar mengingatkan, “Kulat suka kawasan lembap. Jadi, biarkan pintu terbuka selepas digunakan untuk membolehkan udara beredar dan mengelakkan bau hapak.”
Sebelum anda tinggalkan rumah, luangkan masa sekejap untuk keluar dan bersihkan penapis mesin basuh pinggan. Sisa makanan yang terperangkap boleh mengeras dan menyebabkan penyumbatan jika dibiarkan terlalu lama. Ia bukanlah kejutan yang menyeronokkan untuk diselesaikan selepas bercuti!
Bayangkan betapa indahnya kembali ke rumah dengan dapur yang bersih dan segar, bukannya terpaksa berdepan kerja pembersihan tambahan selepas berehat.

3. Tutup Suis Bekalan Air
Langkah ini sangat disyorkan jika anda bercuti lebih daripada beberapa hari.
Tutup injap air utama (stopcock), biasanya terletak di bawah singki dapur atau di luar pintu masuk bagi mengelakkan sebarang risiko kebocoran atau paip pecah semasa anda tiada di rumah.
“Ramai pemilik rumah menyesal kerana tidak berbuat demikian,”. “Menutup bekalan air memberi ketenangan fikiran, kerana anda tahu rumah anda dilindungi daripada risiko kebocoran.”
Ia mungkin nampak seperti langkah kecil, tetapi kesannya besar terutamanya jika anda pernah melihat kesan paip bocor di rumah kosong selama seminggu.

4. Pasang Lampu Automatik Atau Smart Timer
Langkah bonus ini bukan sekadar menjimatkan tenaga, tetapi juga meningkatkan keselamatan rumah.
Pasang lampu dengan pemasa automatik (smart timer) atau gunakan lampu pintar (smart bulbs) yang boleh dikawal melalui telefon pintar anda. Lampu yang menyala dan padam secara berkala boleh memberi ilusi bahawa rumah masih berpenghuni, cara mudah menangkis minat pencuri.

Sebagai tambahan, pilih lampu LED kerana ia lebih tahan lama dan menggunakan tenaga sehingga 80% lebih jimat berbanding mentol biasa.
Anda juga boleh menetapkan jadual pencahayaan berbeza di ruang tamu dan anjung, supaya rumah tampak “hidup” walaupun anda sedang menikmati matahari terbenam di tepi pantai.
🏡 Rumah Juga Perlukan Rehat
Mungkin kelihatan remeh, tapi empat langkah ini cukup untuk menjadikan rumah anda lebih “tenang” ketika anda bercuti. Selain menjimatkan tenaga dan mengelakkan masalah tidak dijangka, ia juga memberi rasa lega kerana tahu kediaman anda selamat, bersih dan bersedia menyambut anda dengan suasana nyaman sebaik sahaja anda kembali.
Jadi, sebelum pasang topi jerami dan kejar matahari pastikan rumah anda sudah dalam mod “sleep”. Percayalah, pulang nanti akan terasa jauh lebih aman.
✨ Tip tambahan: Jika anda bercadang untuk keluar lama, minta jiran yang dipercayai bantu periksa rumah seminggu sekali, sekadar memastikan semuanya baik. Kadangkala langkah kecil sebegini mampu mengelakkan kerugian yang besar.
