7 Perkara Perlu Tahu Sebelum ke Georgia. Diam-Diam Anda Akan Jatuh Cinta
Georgia mungkin bukan nama pertama yang muncul dalam senarai destinasi impian bahkan ia tidak sepopular Switzerland atau Norway. Tapi inilah rahsianya, negara kecil di persimpangan Eropah dan Asia ini mempunyai aura magisnya yang tersendiri. Siapa yang pernah menjejakkan kaki, selalunya pulang dengan hati yang penuh nostalgia dan galeri telefon yang ‘full storage’.
Jika anda merancang ke sana, berikut ialah tujuh perkara penting yang akan membuatkan anda lebih teruja sebelum berangkat.
1. Pemandangan Swiss, Harga Jauh Lebih Mesra Dompet
Georgia menawarkan landskap dramatik gunung yang indah, lembah menghijau dan kampung-kampung tradisional yang tenang. Bezanya? Semua ini boleh dinikmati tanpa perlu bajet yang besar seperti di Swiss. Nilai untuk wang memang luar biasa di negara ini.

2. Musim Sejuk Datang Lebih Awal, Pulang Lebih Lambat
Jika anda pemburu salji, Georgia adalah jackpot. Di kawasan pergunungan, musim sejuk bermula awal dan berakhir lebih lambat. Tidak pelik kalau first snow muncul seawal November. Sesuai untuk mereka yang nak lari dari panas Malaysia dan mengejar suasana ‘winter wonderland’. Musim sejuk pun berlanjutan sehingga Mac. Jadi peluang nak ‘kejar salji’ jauh lebih panjang berbanding negara Eropah lain. Mestia atau Stepantsminda misalnya ibarat poskad hidup yang menunggu tatapan anda.

3. Makanan Halal? Banyak Pilihan, Jangan Risau
Georgia mungkin bukan negara majoriti Muslim tetapi mencari makanan halal tidaklah sesukar yang disangka. Indian restaurant, Turkish grill, Iranian cuisine, semuanya ada. Jadi perut pun bahagia, hati pun tenang sepanjang percutian anda di sana. Sesetengah restoran turut memaparkan sijil halal atau label “Halal-Friendly”. Bagi yang cerewet soal makanan, anda mempunyai banyak pilihan selamat tanpa perlu bergantung pada roti dan fries sahaja.

4. Internet Laju, Tapi Percayalah Gunung Tetap Menguji Kesabaran
Secara umum, rangkaian internet di Georgia agak stabil dan laju. Cuma bila masuk kawasan pergunungan, ada masa signal ‘hilang sama bercuti’. Normal lah untuk destinasi highland. Anggap saja itu peluang untuk unplugged sekejap.
5. Roadtrip Adalah The Real Georgia Experience
Jika anda hanya berada di bandar Tbilisi, anda baru melihat 20% kecantikan negara ini. Roadtrip adalah nadi pengalaman Georgia kerana perjalanannya sendiri memukau. Bayangkan melalui jalan berliku yang memotong lereng gunung, melewati lembah, sungai jernih, kampung lama, menara batu purba dan pemandangan putih bersalji yang tampak seperti lukisan.
Setiap hentian di tepi jalan pun cukup cantik untuk dijadikan gambar wallpaper. Di sinilah Georgia benar-benar mempamerkan identitinya: rustic, megah dan penuh karakter.
6. Tiket Masuk Tempat Lawatan Murah, Tapi Perjalanannya Jauh
Ramai terkejut bila tahu majoriti tempat menarik di Georgia sama ada free atau kurang daripada 10 GEL (RM15). Sangat berbaloi. Yang “mahal” sebenarnya ialah masa perjalanan kerana destinasinya jauh-jauh. Jadi susun itinerary dengan bijak: travel smart, bukan travel sampai penat. Di Georgia, anda boleh menikmati pemandangan epik dengan bajet sederhana; hotel butik yang cantik bermula sekitar RM120–RM200, manakala aktiviti outdoor pada musim sejuk jauh lebih mampu milik. Ia destinasi premium pada kos ekonomi.

7. Muka Nampak Garang, Tapi Hati Mereka Lembut
Wajah orang Georgia mungkin nampak ‘serius’, tetapi layanan mereka hangat, peramah dan baik hati. Bila anda mula berbual atau bertanya arah, mereka cepat membantu. Jangan tertipu dengan muka yang ganas kerana hati mereka penuh kemesraan.