Maghfirah Travel Antara 14 Agensi Umrah Terpilih Amal bagi Musim 1448H
SEPANG – Maghfirah Travel dipilih sebagai salah satu daripada 14 agensi umrah terpilih oleh Amal by Malaysia Airlines bagi musim 1448H, sekali gus memperkukuh kedudukannya dalam industri pengendalian ibadah tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutif Maghfirah Travel & Tours Sdn Bhd, Fakrur Razdi Mohd Omar berkata, pemilihan itu menjadi bukti kepercayaan terhadap komitmen syarikat dalam menyediakan perkhidmatan umrah yang berkualiti dan diyakini.
“Kami amat bersyukur apabila dipilih sebagai antara agensi terpilih. Kerjasama ini mencerminkan kesungguhan kami dalam memastikan perkhidmatan yang lebih tersusun, selamat dan diyakini, khususnya dalam situasi geopolitik tidak menentu ketika ini,” katanya dalam kenyataan selepas majlis pemeteraian perjanjian persefahaman di sini baru-baru ini.
Sebagai langkah memperkukuh perancangan perjalanan jemaah, beliau berkata pihaknya telah memperuntukkan kira-kira RM10 juta bagi tempahan awal tempat duduk penerbangan.
“Bagi kami, keselesaan dan keyakinan jemaah adalah keutamaan. Kami mahu setiap perjalanan dirancang dengan lebih teratur agar jemaah berasa tenang dari awal sehingga selesai ibadah,” ujarnya.
Menurut beliau, sejak beroperasi selama 15 tahun, Maghfirah Travel telah mengendalikan kira-kira 30,000 jemaah umrah dan menyasarkan seramai 4,000 jemaah pada tahun ini.
Dalam pada itu, pihak Amal By Malaysia Airlines turut menyediakan pelan penerbangan yang tersusun dengan jaminan laluan selamat tanpa melalui kawasan konflik.
“Perancangan laluan ini memberi keyakinan kepada kami untuk terus menjamin keselamatan jemaah sepanjang perjalanan,” katanya.
Dengan sokongan rakan strategik dalam industri penerbangan, Maghfirah Travel optimis dapat terus menawarkan pengalaman umrah yang lebih selesa, tersusun dan diyakini masyarakat.