Malaysia sasar pasaran Mongolia, Tourism Malaysia meterai kerjasama strategik
1 min read

Malaysia sasar pasaran Mongolia, Tourism Malaysia meterai kerjasama strategik

PUTRAJAYA – Tourism Malaysia hari ini memeterai Memorandum Kerjasama (MoC) dengan Green Empire Holding LLC bagi memperkukuh promosi Malaysia sebagai destinasi pilihan pelancong Mongolia, sekali gus memacu momentum kempen Visit Malaysia 2026 (VM2026).

Kerjasama strategik itu akan bermula Januari 2026 menerusi inisiatif khas ‘Welcome Malaysia’, yang dirangka untuk meningkatkan ketibaan pelancong dari Mongolia melalui pendekatan promosi moden berteraskan digital.

Inisiatif berkenaan akan mengetengahkan kepelbagaian produk pelancongan negara merangkumi tarikan bandar, ekopelancongan, warisan budaya serta pengalaman pelancongan mewah.

Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Mohd Amirul Rizal Abdul Rahim, berkata kerjasama itu merupakan langkah proaktif bagi mempelbagaikan pasaran pelancong antarabangsa dengan menumpukan segmen berpotensi tinggi.

“Kerjasama ini mencerminkan komitmen kami terhadap pemasaran pelancongan yang inovatif serta hubungan kukuh sektor awam dan swasta, sejajar usaha memperkasa Visit Malaysia 2026 dan meningkatkan penjenamaan global Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Green Empire Holding LLC, Byambasuren Ayushjav, berkata kerjasama tersebut melangkaui promosi pelancongan konvensional dengan memberi fokus kepada penceritaan autentik bagi menarik minat pelancong Mongolia.

“Kami mahu membina jambatan hubungan jangka panjang yang menghubungkan rakyat kedua-dua negara melalui pengalaman budaya dan pelancongan yang bermakna,” katanya.

Melalui kempen VM2026, Malaysia menyasarkan ketibaan 43 juta pelancong antarabangsa pada 2026, selari dengan usaha menjadikan sektor pelancongan sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara.

Prestasi sektor itu terus memberangsangkan apabila ketibaan pelancong antarabangsa dari Januari hingga November 2025 merekodkan 38.3 juta orang.

Berteraskan tema ‘Surreal Experiences’, VM2026 akan menampilkan program sepanjang tahun melibatkan festival, pameran, acara kebudayaan, sambutan komuniti serta pengalaman unik Malaysia bagi menarik pelancong global.

Di bawah MoC berkenaan, kedua-dua pihak akan bekerjasama dalam promosi destinasi Malaysia di Mongolia, kempen pemasaran bersama, pertukaran data pelancongan serta pemudahcaraan perniagaan antara pemain industri.

Kerjasama itu turut merangkumi sokongan bersama bagi penganjuran acara pelancongan dan inisiatif lain yang dijangka mengukuhkan hubungan budaya serta meletakkan Malaysia sebagai destinasi utama dalam ingatan pelancong Mongolia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *