850 Pemilik Royal Enfield Tawan Litar Sepang
2 mins read

850 Pemilik Royal Enfield Tawan Litar Sepang

SEPANG – Sejarah baharu dunia permotoran negara tercipta apabila seramai 850 pemilik motosikal Royal Enfield berhimpun dalam perhimpunan terbesar jenama itu di Malaysia, sekali gus diiktiraf oleh Malaysia Book of Records.

Acara bersejarah yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang itu menyaksikan penyertaan penunggang dari seluruh negeri di Semenanjung Malaysia, menampilkan semangat perpaduan, minat dan persaudaraan yang kukuh dalam kalangan komuniti Royal Enfield tempatan.

Himpunan berkenaan dianjurkan oleh Didi Group dan menghimpunkan pelbagai model Royal Enfield daripada rangkaian klasik seperti Bullet dan Classic 350, sehinggalah model moden termasuk Interceptor 650, Continental GT, Himalayan dan Super Meteor 650.

Ramai penunggang sanggup merentasi jarak jauh bagi menjadi sebahagian daripada detik bersejarah itu, yang dicapai menerusi acara Parade Ride serta perhimpunan beramai-ramai di litar berprestij berkenaan.

Pengerusi Didi Group, Rewi Hamid Bugo berkata, pencapaian itu bukan sekadar rekod, sebaliknya melambangkan kekuatan komuniti dan nilai kebersamaan yang menjadi teras jenama Royal Enfield.

“Acara ini benar-benar mengangkat jenama dan komuniti Royal Enfield ke tahap lebih tinggi dengan menghimpunkan pemilik daripada pelbagai kaum dan latar belakang di bawah satu platform serta satu matlamat bersama iaitu mencatat rekod dalam Malaysia Book of Records dengan 850 pemilik.

“Tenaga dan semangat di lokasi amat luar biasa. Kami berharap pengalaman ini memberi nilai pemilikan yang unik dan autentik kepada pemilik. Ini merupakan permulaan yang cukup bermakna bagi tahun 2026,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Komersial Royal Enfield, Yadvinder Singh Guleria berkata, pihaknya berbesar hati dapat mencipta sejarah di Malaysia menerusi pengiktirafan tersebut.

“Rekod ini amat istimewa kerana ia meraikan perhimpunan terbesar komuniti penunggang Royal Enfield di negara ini, sekali gus membuktikan kekuatan semangat dan minat bersama yang kami kongsikan.

“Royal Enfield sentiasa dikenali dengan legasi yang kaya serta motosikal yang berkarakter, praktikal dan serba boleh. Kami akan terus memperluaskan rangkaian dan keupayaan di rantau Asia Pasifik serta membina komuniti penunggang yang lebih kukuh,” katanya.

Malaysia Book of Records, yang ditubuhkan pada 1995, merupakan badan rasmi yang mengiktiraf pencapaian luar biasa oleh individu, organisasi dan jenama di negara ini, termasuk rekod serta pencapaian unik dalam pelbagai bidang.

Royal Enfield, jenama motosikal tertua yang masih beroperasi sejak 1901, terkenal dengan pendekatan “Pure Motorcycling” yang menekankan pengalaman tunggangan tulen, warisan kukuh serta kebebasan ekspresi kepada penunggang di seluruh dunia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *