SUPASONIK 2026 Gegar Kuala Lumpur, Himpun Barisan Artis Tempatan
KUALA LUMPUR – Festival muzik SUPASONIK 2026 bakal menggegarkan ibu negara apabila menghimpunkan barisan artis dan kumpulan muzik tempatan dalam satu acara berskala besar yang dijadual berlangsung di Menara PT80 Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada 13 Jun ini.
Festival selama lapan pukul itu dijangka menjadi pentas kepada pelbagai genre muzik tempatan dengan sasaran kehadiran lebih 2,000 pengunjung dari seluruh negara.
Antara artis yang bakal memeriahkan pentas SUPASONIK 2026 ialah No Good, 0108 Slatan, Johny Comes Lately, Masdo, Eemrun x Dannqrack, Iqbal M, Hacktick!, Dependent, Gallagher dan Seberang.
Penganjuran festival itu dilihat sebagai usaha memperkukuhkan kedudukan muzik tempatan dalam industri kreatif negara selain membuka ruang kepada peminat untuk menikmati persembahan artis kegemaran mereka dalam suasana festival yang lebih dekat dan interaktif.

Menariknya, SUPASONIK 2026 bukan sekadar tertumpu kepada acara kemuncak di Kuala Lumpur apabila pihak penganjur turut mengadakan SUPATOUR, iaitu siri jelajah akustik percuma di tujuh negeri sebagai acara pemanas badan menjelang festival tersebut.
Inisiatif itu bertujuan mendekatkan festival dengan komuniti muzik akar umbi selain memperluaskan capaian kepada peminat muzik di seluruh negara.
Menurut wakil penganjur, SUPASONIK diwujudkan sebagai platform yang menghimpunkan komuniti muzik tempatan untuk berkongsi minat serta meraikan karya yang lahir daripada pelbagai latar belakang dan genre.
“Melalui penganjuran festival ini dan jelajah SUPATOUR, kami berharap dapat membawa pengalaman muzik yang lebih dekat kepada peminat selain menyumbang kepada perkembangan ekosistem muzik tempatan,” katanya.
Beliau berkata, festival itu turut membawa aspirasi untuk meraikan kepelbagaian warna muzik tempatan serta memperkukuhkan hubungan antara penggiat seni, peminat dan komuniti kreatif.
SUPASONIK 2026 dijangka menjadi antara festival muzik tempatan terbesar tahun ini dengan gabungan persembahan bertenaga, pengalaman festival moden dan penglibatan aktif komuniti seni dari seluruh negara.