Kedai Emas Sri Semantan Pupuk Kesedaran Pelaburan Emas Dalam Kalangan Atlet
SENAWANG – Emas pada masa kini bukan lagi sekadar lambang kemewahan atau perhiasan diri, sebaliknya merupakan aset yang mampu menjamin kestabilan kewangan pada hari-hari yang tidak menentu terutama selepas tempoh kerjaya seseorang berakhir.
Atas kesedaran itu, Kedai Emas Sri Semantan (KESS) kini memperluaskan pendekatan pemasarannya untuk mendidik masyarakat khususnya dalam komuniti sukan mengenai kepentingan pelaburan emas sebagai simpanan jangka panjang.
Pengasas dan Pengerusi KESS, Mohamad Hafizal Mahmood berkata, syarikatnya mahu mengubah persepsi bahawa emas hanya sesuai dijadikan barang kemas, sedangkan logam berharga itu mempunyai nilai sebagai instrumen pelaburan yang boleh dimanfaatkan pada masa depan.
Menurut beliau, atlet terutama pemain bola sepak antara golongan yang wajar diberikan pendedahan mengenai kepentingan memiliki aset bernilai tinggi itu kerana tidak semua mampu menikmati kehidupan selesa selepas bersara daripada arena sukan.
“KESS bukan sekadar menjual emas, tetapi mahu mendidik masyarakat termasuk atlet supaya melihat emas sebagai aset yang boleh menjamin masa depan.
“Kita sering melihat bekas pemain bola sepak berdepan kesukaran kewangan selepas bersara kerana terlalu bergantung kepada pendapatan ketika masih aktif. Sebab itu kami mahu memupuk budaya menyimpan dalam bentuk emas sejak awal,” katanya.


Beliau berkata demikian selepas merasmikan pembukaan cawangan ke-19 KESS di Senawang yang juga merupakan outlet pertama syarikat itu di Negeri Sembilan,baru-baru ini.
Menurut Hafizal, selari dengan aspirasi tersebut, KESS kini mengorak langkah mendekati komuniti sukan tanpa mengetepikan identiti asal syarikat yang sebelum ini aktif menyokong program kebudayaan.
Katanya, bola sepak dipilih sebagai platform permulaan memandangkan sukan itu mempunyai pengaruh besar dalam kalangan rakyat Malaysia, selain mampu menyampaikan mesej mengenai kepentingan pengurusan kewangan kepada lebih ramai golongan muda.
“Bola sepak hanyalah permulaan. Kami turut merancang memperluaskan kerjasama ke beberapa lagi sukan pada masa akan datang,” katanya.
Majlis pembukaan itu turut diserikan dengan kehadiran bekas pertahanan Harimau Malaya, Aidil Zaquan Abdul Radzak bersama isterinya, pelakon Ayu Raudhah.
Sementara itu, Ahli Lembaga Pengarah KESS, Shaaini Md. Jumaat berkata, penglibatan selebriti dan atlet bukan sekadar untuk menarik kehadiran orang ramai, malah sebagai usaha mendekatkan jenama itu dengan komuniti sambil menyebarkan kesedaran mengenai pelaburan emas.
Beliau berkata, syarikat belum merancang untuk menaja mana-mana pasukan bola sepak buat masa ini, namun kemungkinan itu akan dipertimbangkan pada tahun depan bergantung kepada perkembangan perniagaan.
Dalam perkembangan sama, Shaaini berkata, sambutan terhadap cawangan baharu di Senawang amat memberangsangkan apabila jualannya melepasi sasaran petunjuk prestasi utama (KPI) sejak hari pertama operasi.
Prestasi positif itu, katanya, menjadi pemangkin kepada KESS untuk membuka dua lagi cawangan di Negeri Sembilan, masing-masing di Nilai dan Bahau, selain meneruskan sasaran memiliki 30 cawangan di seluruh negara menjelang penghujung tahun ini.
KESS turut meraikan pembukaan serentak cawangan baharunya di Senawang, Negeri Sembilan dan Pasir Gudang, Johor pada 18 dan 19 Julai lalu.
