Menteri Pendidikan India letak jawatan susulan bantahan pelajar
NEW DELHI – Menteri Pendidikan India, Dharmendra Pradhan meletakkan jawatan selepas berdepan tekanan hebat susulan bantahan besar-besaran yang dipimpin golongan belia berhubung dakwaan kebocoran kertas peperiksaan dan kelemahan sistem pendidikan negara itu.
Peletakan jawatan itu diumumkan semalam, sekali gus dilihat sebagai satu kemenangan besar kepada gerakan protes yang berlangsung selama beberapa minggu dan mendapat sokongan meluas pelajar di seluruh India.
Bantahan tercetus susulan kontroversi melibatkan peperiksaan aliran perubatan yang didakwa dicemari kebocoran soalan dan pelbagai penyelewengan, sekali gus mencetuskan kemarahan orang ramai terhadap pengurusan sistem peperiksaan negara itu.
Dalam surat peletakan jawatannya, Pradhan berkata, beliau mengambil tanggungjawab moral bagi mengelakkan masa depan pelajar terus terjejas serta menghalang pihak tertentu daripada mengambil kesempatan terhadap krisis berkenaan.
Beliau turut menegaskan sentiasa bertanggungjawab sepanjang mengendalikan isu tersebut.
Susulan keputusan itu, kerajaan pimpinan Perdana Menteri Narendra Modi dilaporkan bersetuju melaksanakan beberapa pembaharuan terhadap sistem peperiksaan, termasuk memperketat langkah mencegah kebocoran soalan dan memperkukuh integriti proses penilaian.
Gerakan yang dikenali sebagai “Cockroach Movement” turut mengumumkan penamatan bantahan selepas kerajaan memenuhi tuntutan utama mereka, termasuk peletakan jawatan menteri berkenaan.
Sementara itu, kerajaan India bertindak pantas mengisi kekosongan jawatan tersebut dengan melantik Pralhad Joshi sebagai Menteri Pendidikan yang baharu.