Foto: FB BAM

KUALA LUMPUR: Beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik mengesahkan tempat ke perlawanan akhir Kejohanan Badminton Dunia selepas menewaskan pasangan Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae.

Dalam pertandingan yang berlangsung di Stadium Tertutup Indira Ghandi, New Delhi, India malam tadi, Aaron-Wooi Yik menewaskan juara bertahan itu dengan keputusan 21-17, 21-18.

Meskipun berdepan pasangan Korea Selatan yang merupakan juara bertahan serta regu nombor satu dunia, Aaron-Wooi Yik bagaimanapun menampilkan aksi bertenaga sepanjang kira-kira 43 minit perlawanan berlangsung.

Kemenangan itu sekali gus membuka peluang buat Aaron-Wooi Yik merangkul gelaran juara dunia kedua dalam karier mereka selepas edisi di Tokyo, Jepun pada 2022 ketika mereka menewaskan pasangan legenda Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan 21-19, 21-14.

Bagaimanapun, Aaron-Wooi Yik perlu berdepan tentangan pasangan China, Liang Wei Keng-Wang Chang di pentas akhir yang akan berlangsung hari ini.

Pasangan China itu menewaskan beregu Taiwan, Lee Jhe-huei and Yang Po-hsuan 21-18, 21-14 dalam satu lagi perlawanan separuh akhir malam tadi.

Untuk rekod, Wei Keng-Wang Chang menang 10 perlawanan daripada 13 mereka dengan Aaron-Wooi Yik sebelum ini termasuk dalam pertarungan terakhir di Singapura pada Mei lalu. – PentasDaily

By Editor3

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *