Foto: FB Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan Sukan Malaysia (SUKMA) yang memasuki edisi ke-22 tahun ini, merupakan cetusan ilham beliau ketika menjawat Menteri Belia dan Sukan pada 1983.

Anwar berkongsikan perkara itu menerusi hantaran di Facebooknya yang turut melahirkan rasa syukur apabila SUKMA hari ini terus menjadi medan menyatukan bakat, semangat dan daya juang anak-anak muda dari seluruh negara, termasuk Brunei Darussalam.

Terdahulu, Anwar menjunjung kasih atas keberangkatan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah yang mewakili Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah ke Majlis Penutupan Sukan Malaysia (SUKMA) ke-22 malam tadi.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Eliza Tan Ai Shen dari Selangor dan Cheah Zen Hong dari Pahang yang dinobatkan sebagai Atlet Wanita dan Lelaki Terbaik.

Lebih manis, ujarnya, tuan rumah, Selangor muncul Juara Keseluruhan SUKMA XXII.

“Terima kasih dan tahniah kepada Menteri Besar Selangor serta Kerajaan Negeri Selangor atas komitmen dan kerja keras menjayakan SUKMA XXII sebagai tuan rumah.

“Penganjuran yang tersusun dan meriah ini membuktikan keupayaan Selangor mengangkat temasya sukan negara dengan penuh semangat dan kebersamaan,” katanya.

Dalam masa sama, beliau turut mengucapkan syabas kepada semua atlet jurulatih, pegawai dan urus setia.

Ujarnya, SUKMA bukan sekadar soal pingat, tetapi gelanggang mencungkil bakat dan melahirkan juara.

“Kepada anak-anak muda, teruskan berjuang dan asah bakat kerana insya-Allah, ada antara kalian yang bakal menggalas nama Malaysia di pentas dunia.

“Tahniah semua! Teruskan melangkah dan terus mengharumkan nama negara,” katanya. – PentasDaily

By Editor3

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *