Pihak polis menjalankan siasatan mengenai kes kebakaran melibatkan naskhah al-Quran di Senawang. - Gambar media sosial.

KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang lelaki berusia 25 tahun selepas disyaki mempunyai kaitan dengan kes penemuan al-Quran dibakar di tepi padang dekat Taman Bandar Senawang, Negeri Sembilan, pada 22 Ogos lalu.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, suspek ditahan dalam satu serbuan di sebuah hotel di Chow Kit, kira-kira pukul 9.30 malam tadi.

Menurut beliau, tangkapan dilakukan selepas pihak polis menerima dua laporan iaitu kes kebakaran dan kecurian naskhah al-Quran baru-baru ini.

“Kita menerima satu panggilan daripada orang awam yang memaklumkan terlihat kebakaran kecil di kawasan tepi padang bola di Taman Bandar Senawang pada 22 Ogos lalu.

“Hasil pemeriksaan di lokasi mendapati kebakaran tersebut melibatkan beberapa naskhah al-Quran.

“Pada hari sama, kira-kira pukul 5.45 petang, pihak polis turut menerima laporan berkaitan kejadian kecurian al-Quran di salah sebuah masjid di kawasan Forest Height, Seremban,” jelasnya dalam kenyataan.

Alzafny berkata, bertindak atas maklumat, pihaknya menyerbu sebuah hotel di Chow Kit pada pukul 9.30 malam tadi dan berjaya menahan suspek.

Katanya, pemeriksaan di dalam bilik yang didiami suspek menemukan dua beg bagasi dan beg galas mengandungi keseluruhan 16 naskhah al-Quran.

“Kita juga merampas tiga telefon bimbit serta beberapa barangan peribadi milik suspek termasuk pakaian bagi membantu siasatan.

“Semakan lanjut mendapati suspek mempunyai empat rekod jenayah lampau dan baru dua bulan tamat menjalani perintah pengawasan polis,” katanya.

Katanya, hasil siasatan awal mendapati, kesemua naskhah al-Quran yang ditemukan dipercayai telah dibawa keluar tanpa izin daripada masjid dan surau di sekitar Chow Kit.

Jelas beliau, pihak polis juga tidak menolak kemungkinan beberapa naskhah tersebut diambil daripada salah sebuah universiti di utara tanah air berdasarkan penemuan cap hak milik universiti berkenaan.

“Pada hari sama, pihak polis menjalankan pemeriksaan di rumah milik keluarga suspek di Senawang dan menemukan 36 kulit al-Quran di dalam bilik tempat tinggal suspek.

“Kesemua kulit al-Quran berkenaan dirampas dan pihak polis percaya penemuan tersebut mempunyai kaitan dengan kes pembakaran al-Quran di lokasi kejadian,” katanya.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 380/295 Kanun Keseksaan dan suspek akan dibawa ke Mahkamah Seremban bagi permohonan tahanan reman.

By Editor2

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *