PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membebaskan dua tokoh korporat adik beradik bergelar Datuk Seri dan Datuk Wira yang direman bagi membantu siasatan berkaitan penyelewengan dan salah guna kedudukan dalam urusan pelaburan bernilai kira-kira RM10 juta dengan jaminan.
Sumber SPRM berkata, suspek bergelar Datuk Wira telah dibebaskan 5 Oktober lalu sebaik tempoh remannya berakhir.
Sementara itu, tambahnya, seorang lagi suspek yang bergelar Datuk Seri dilepaskan hari ini (7 Oktober) selepas tempoh remannya dilanjutkan selama dua hari sebaik sahaja tamat pada 5 Oktober lalu.
Pada 1 Oktober lalu, kedua-dua suspek telah ditahan reman selama lima hari dan SPRM turut menyita 15 unit kereta mewah bernilai kira-kira RM31 juta; 12 unit motosikal berkuasa tinggi bernilai kira-kira RM5 juta; lima unit jam tangan mewah, tiga unit gelang tangan dan wang tunai berjumlah kira-kira RM30,000.
Selain itu, SPRM turut membekukan dua akaun peribadi bernilai kira-kira RM2 juta.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut dan berkata, kesemua suspek telah dibebaskan dengan jaminan SPRM. – PentasDaily

