KUALA LUMPUR: Pesawat persendirian dari Malaysia yang ditahan di Laos berkait penemuan 521 kilogram (kg) dadah berlepas dari Lapangan Terbang Subang pada 1 Oktober lalu, tanpa sebarang muatan.
Pesawat itu dinaiki tiga individu iaitu seorang juruterbang warga Singapura; pembantu juruterbang warga Malaysia dan penumpang warga Filipina.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Hussein Omar Khan berkata, pesawat itu kemudiannya mendarat di Lapangan Terbang Luang Prabang, Laos kira-kira jam 11.30 pagi, sebelum dua buah kenderaan tiba pada jam 1.30 tengah hari dengan membawa 23 buah beg.
Menurutnya, kesemua beg itu kemudiannya dipindahkan ke dalam pesawat tersebut dengan bantuan kakitangan lapangan terbang berkenaan.
Susulan tangkapan itu, tambahnya, pihak berkuasa Laos telah menahan seramai 10 warga tempatan masing-masing tiga kakitangan syarikat perkhidmatan darat dan tujuh kakitangan lapangan terbang berkenaan yang mengendalikan mesin pengimbas (X-ray).
“Sindiket dadah berskala besar itu dipercayai menggunakan pesawat atau jet persendirian untuk menyeludup dadah dari Laos ke Filipina.
“Dadah yang dirampas dipercayai adalah untuk pasaran Manila, Filipina dan bukannya untuk pasaran di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu, tambah beliau, PDRM telah memulakan siasatan berkaitan kes ini dan akan menghantar pegawai daripada JSJN ke Laos.
Jelasnya, ia supaya soal siasat lanjut dapat dijalankan bagi mendapatkan maklumat berkaitan rangkaian sindiket dadah yang terlibat khususnya di Malaysia. – PentasDaily

