Seorang lelaki yang dipercayai suami kepada pegawai AKPS yang ditemukan maut, dibawa oleh anggota polis.

NILAI – Lelaki yang disyaki membunuh isterinya, seorang pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), dipercayai baru beberapa hari dibebaskan dari penjara selepas menjalani hukuman berkaitan kesalahan dadah.

Perkara itu dimaklumkan abang sulung mangsa, Amran Ibrahim, 59, yang berkata, berita kematian adik bongsunya, Norhazwani Ibrahim, 35, amat mengejutkan seluruh keluarga, lebih-lebih lagi apabila suaminya sendiri dipercayai terbabit dalam kejadian itu.

Menurut Amran, dia menerima panggilan daripada adik lelakinya kira-kira pukul 7.30 malam yang memaklumkan Norhazwani dipercayai dibunuh suaminya di sebuah unit kediaman kakitangan kerajaan di Jalan Kuarters Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), malam tadi.

Katanya, dia dimaklumkan suspek sendiri menghubungi adik kelapan mereka dan mengaku membunuh isterinya sebelum menyatakan hasrat untuk menyerah diri kepada polis.

“Pada masa itu perasaan bercampur baur, ada rasa terkejut, tidak percaya dan marah juga. Saya kemudian terus menghubungi balai polis kerana dia (suspek) turut beritahu mahu menyerah diri,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, awal pagi tadi.

Amran berkata, dia kemudian mendapatkan pengesahan daripada pihak polis sebelum bergegas ke lokasi kejadian bersama beberapa saudara-mara.

Amran berkata, meskipun reda dengan pemergian adiknya, cara mangsa meninggal dunia meninggalkan kesan mendalam kepada seluruh keluarga.

“Memang sudah sampai masa dia. Tetapi cara dia ‘pergi’ itu buatkan kami terkilan, lebih-lebih lagi pelakunya adalah suaminya sendiri,” katanya.

By Editor4

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *