GEORGE TOWN: Video memaparkan seorang lelaki dipercayai sengaja menjatuhkan diri di jejambat berhampiran Hospital Lam Wah Ee, George Town sebelum berlakon seolah-olah dilanggar dipercayai bagi mendapatkan pampasan, tular di media sosial sejak semalam.
Kejadian itu turut mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lancang, Ong Ah Teong.
Berdasarkan perkongsian di laman Facebooknya, Ah Teong berkata, beliau sudah melaporkan kejadian itu kepada Balai Polis Jelutong dan IPD Timur Laut bagi mengelakkan kejadian tidak diingini, termasuk kemalangan.
Ujar beliau, polis telah memaklumkan suspek atau pelaku tindakan itu telah ditahan bagi membantu siasatan.
“Terima kasih kepada pihak polis dengan tindakan pantas dan berjaya menangkap suspek tersebut,” katanya.
Dalam masa sama, beliau menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dan tidak menjadi mangsa sekiranya berdepan situasi seumpama itu. – PentasDaily

