Jelajah Star Karnival Cuti-Cuti Malaysia Menutup Tirai Di Sabah
2 mins read

Jelajah Star Karnival Cuti-Cuti Malaysia Menutup Tirai Di Sabah

KOTA KINABALU — Star Karnival Cuti-Cuti Malaysia (SKCCM) 2025 melabuhkan tirainya di Sabah baru-baru ini dengan pelancaran rasmi di Imago Mall, sekali gus menutup rangkaian siri kempen “Explore. Experience. Excite” yang digerakkan bersama oleh Tourism Malaysia dan Star Media Group (SMG) sejak September lalu.

Karnival tiga hari yang berlangsung dari 14 hingga 16 November itu menjadi antara platform utama mempromosikan pelancongan domestik, budaya tempatan serta keusahawanan berasaskan warisan menjelang Visit Malaysia 2026 (VM2026).

Majlis perasmian disempurnakan Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan, yang menegaskan penganjuran ini berperanan menyemarakkan minat rakyat terhadap sektor pelancongan dalam negara.

“Menjelang VM2026, penganjuran karnival seperti ini amat penting untuk menggalakkan rakyat merancang percutian di dalam negara dan meneroka kepelbagaian budaya yang membentuk identiti Malaysia. Selaras aspirasi Malaysia MADANI, inisiatif ini akan terus merancakkan sektor pelancongan dan ekonomi negara,” katanya.

Edisi SKCCM Sabah menghimpunkan 80 peserta pameran, termasuk agensi pelancongan, hotel, inap desa, pengusaha produk kraf dan pemain industri kreatif. Pengunjung turut disajikan pelbagai pengisian menarik seperti persembahan kebudayaan, pameran kraf, promosi pelancongan eksklusif, hidangan warisan serta persembahan khas bersama penggiat seni dan pencipta kandungan digital.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Star Media Group, Chan Seng Fatt, menyifatkan SKCCM sebagai perjalanan menyeluruh merentasi landskap Malaysia.

“Dari tanah tinggi ke pesisir pantai, dari kota ke desa, SKCCM meraikan keunikan budaya, masakan dan hubungan kemasyarakatan Malaysia. Kerjasama erat dengan Tourism Malaysia melonjakkan lagi usaha ini,” katanya.

Sepanjang penganjuran dari September hingga November, karnival tersebut menjelajah Pahang, Lembah Klang, Sarawak, Pulau Pinang, Johor dan Sabah, dengan kehadiran lebih 200,000 pengunjung di seluruh negara.

Pada majlis sama, turut dilancarkan kempen Fly Borneo Vol. 3: Surreal Experiences, kolaborasi Tourism Malaysia Sabah bersama Malaysia Airlines dan Firefly yang menyatukan 13 ejen pelancongan strategik bagi mempromosikan 26 pakej pelancongan eksklusif merangkumi Sabah, Sarawak dan Labuan.

Malaysia Airlines dan Firefly turut menawarkan diskaun tambang 5 hingga 10 peratus bagi laluan Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu, Tawau, Sandakan, Labuan, Kuching, Sibu, Miri dan Bintulu, tertakluk kepada pembelian pakej penginapan minimum dua malam. Pakej Fly Borneo dijual bermula 15 November 2025 hingga 31 Disember 2026.

SKCCM Sabah dibuka secara percuma, menawarkan tiga hari penuh persembahan budaya, sajian kulinari dan promosi pelancongan istimewa. Maklumat lanjut mengenai acara akan datang boleh didapati di platform The Star, mStar, Majoriti dan Suria FM.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *