PKS Digesa Laksana EWA Bantu Pekerja Tampung Kos Hidup. Setlary Terima Pelaburan RM100 Juta
2 mins read

PKS Digesa Laksana EWA Bantu Pekerja Tampung Kos Hidup. Setlary Terima Pelaburan RM100 Juta

KUALA LUMPUR – Syarikat yang menggaji pekerja berpendapatan rendah, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) digalak mempertimbangkan penggunaan konsep Earned Wage Access (EWA) atau Akses Gaji Diperoleh bagi membantu meringankan beban kos sara hidup pekerja.

Presiden Persatuan ESG Malaysia, Cheah Kok Hoong berkata, EWA membolehkan pekerja mengakses sebahagian gaji mereka sebelum tarikh gajian, sekali gus membantu golongan berpendapatan rendah menampung keperluan asas harian atau mingguan.

“Pekerja perlu menerima gaji tepat pada masanya untuk bekerja dengan lebih gembira, selesa dan memberikan komitmen sepenuhnya.

“Jika PKS selaku majikan menghadapi masalah aliran tunai sehingga gagal membayar gaji, pekerja juga tidak mampu menyumbang tenaga dengan baik. Ia akan mencetuskan kitaran yang tidak sihat,” katanya pada sidang media Setlary, sebuah syarikat penyedia platform EWA, baru-baru ini.

Tambah Cheah, konsep EWA selari dengan agenda sosial dalam kerangka Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG), terutamanya aspek kesejahteraan dan keselamatan pekerja yang sering dipandang ringan.

Katanya inisiatif seumpama itu wajar diperluas terutama dalam kalangan PKS memandangkan sektor itu menyumbang kira-kira 38 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan menjadi tunjang penting kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Dalam perkembangan sama, Setlary turut mengumumkan pelaburan strategik bernilai RM100 juta bersama syarikat pembiayaan Lion X dan Holborn Capital Partners bagi mempercepatkan pengembangan platform itu ke pasaran Asia serta meningkatkan fungsi kesejahteraan kewangan yang ditawarkan.

Pengasas Bersama Setlary, Charles Chew, berkata, platform mereka menyediakan penyelesaian nyata dan tanpa kos kepada majikan untuk meningkatkan kesejahteraan kewangan pekerja, yang terbukti membantu meningkatkan kadar pengekalan pekerja serta memudahkan proses pengambilan bakat baharu.

“Dorongan strategik ini memastikan lebih ramai pekerja dapat mengakses pendapatan yang telah diperolehi lebih awal dan mengakses program Kesejahteraan Setlary yang akan menjamin
kestabilan kewangan jangka panjang.

“Matlamat utama Setlary adalah untuk menjadikan ‘Setiap Hari adalah Hari Gaji Anda,” katanya.

Chew menambah, platform Setlary bukan sekadar menawarkan akses gaji tetapi ia juga merupakan langkah proaktif untuk membantu pekerja, terutamanya golongan B40, mengelakkan pinjaman bertaedah tinggi (Ah Long) dan mendapatkan akses kepada program kebajikan.

Program-program sosial yang ditawarkan termasuk inisiatif seperti pemberian barang keperluan asas bulanan dan program insurans percuma bagi pekerja yang tidak mempunyai akses kewangan.

Selain pelaburan strategik terbabit, CapBay turut menyediakan sokongan pembiayaan tambahan melalui akses kepada modal alternatif, menjadikan kapasiti pembiayaan keseluruhan sehingga USD25 juta bagi memperkukuh portfolio pelanggan Setlary.

Pelaburan itu secara langsung memenuhi permintaan semakin tinggi daripada syarikat korporat untuk melaksanakan komponen ‘S’ (Sosial) dalam mandat ESG mereka melalui penyediaan manfaat kewangan yang lebih inklusif kepada pekerja.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *