Casa Lambretta X300 – Edisi Terhad Dilancar di Malaysia, Hanya 999 Unit Worldwide
2 mins read

Casa Lambretta X300 – Edisi Terhad Dilancar di Malaysia, Hanya 999 Unit Worldwide

SEPANG – Lambretta Malaysia mencipta sejarah baharu dalam industri skuter apabila melancarkan Casa Lambretta X300 Limited Edition di Litar Antarabangsa Petronas Sepang (SIC), semalam, sekali gus merekodkan pencapaian ASEAN dan Asia menerusi penganjuran acara komuniti skuter terbesar pernah diadakan di litar bertaraf Formula Satu itu.

Pelancaran model edisi terhad berkenaan, yang dihasilkan hanya 999 unit di seluruh dunia, berlangsung di North Paddock SIC dan menyaksikan penyertaan besar-besaran komuniti Lambretta dari seluruh negara.

Casa Lambretta X300 Limited Edition dibangunkan dengan kerjasama pasukan legenda Casa Lambretta Racing Team dan menampilkan identiti “Racing Spirit of Lambretta”, termasuk grafik perlumbaan khas, plat nombor ‘47’ sebagai simbol penubuhan Lambretta pada 1947, serta penggunaan komponen aero gentian karbon.

Model ini dikuasakan enjin Lambretta Super Performance (LSP) berkapasiti 275cc yang menawarkan prestasi moden tanpa menjejaskan karakter klasik Itali yang menjadi identiti jenama itu.

Pelancaran di Malaysia diketuai oleh Bike Continent Sdn. Bhd. selaku pengedar rasmi, diterajui Pengarah Urusannya, Ronnie Chen, manakala urusan import dikendalikan oleh Mofaz Motosikal Sdn. Bhd. yang diwakili Datuk Nik Izani Nik Ibrahim. Jenama Lambretta global pula dimiliki dan diselia oleh Walter Scheffrahn menerusi Innocenti SA.

Sebagai simbolik pelancaran, sebanyak 68 unit Casa Lambretta X300 Limited Edition diserahkan kepada pemilik terawal dalam satu sesi penyerahan berkonsepkan perlumbaan, menandakan permulaan kukuh model koleksi itu di pasaran tempatan.

Acara bersejarah itu turut menyaksikan Lambretta Malaysia mencatat rekod ASEAN dan Asia dengan penyertaan seramai 818 peserta berdaftar dalam acara ‘fun ride’ skuter anjuran jenama terbesar pernah diadakan di litar SIC.

Program tersebut menghimpunkan ratusan peminat Lambretta atau Lambrettisti, menampilkan gabungan skuter klasik yang dipulihkan serta model-model moden, sekali gus membuktikan daya tarikan Lambretta yang merentasi generasi.

Pengurus Besar Bike Continent Sdn. Bhd., Sterz Yap berkata, pelancaran itu merupakan detik bermakna buat komuniti Lambretta di Malaysia.

“Hari ini adalah impian setiap Lambrettista di Malaysia. Daripada penyerahan eksklusif Casa X300 hingga pencapaian rekod fun ride di Litar Sepang, ini bukan sekadar pelancaran skuter, tetapi permulaan satu gerakan besar komuniti,” katanya.

Sementara itu, pemilik jenama Lambretta, Walter Scheffrahn berkata, Casa Lambretta X300 melambangkan gabungan sempurna antara legasi perlumbaan dan visi masa depan jenama tersebut.

“Melihat tahap sokongan dan semangat luar biasa di Asia, khususnya menerusi acara komuniti yang mencatat rekod di Sepang, membuktikan Lambretta kekal sebagai ikon gaya, kebebasan dan semangat di peringkat global,” katanya.

Pelancaran ini turut mengukuhkan kedudukan Bike Continent Sdn. Bhd. sebagai pengedar Lambretta terbaik bagi tahun 2025, hasil prestasi jualan cemerlang, perkhidmatan pelanggan yang konsisten serta komitmen memperluas komuniti Lambretta di Malaysia dan rantau ASEAN.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *