Duopharma Biotech Tampil Peneraju Farmaseutikal Halal, Pamer Keupayaan kepada Delegasi SMIIC
2 mins read

Duopharma Biotech Tampil Peneraju Farmaseutikal Halal, Pamer Keupayaan kepada Delegasi SMIIC

KUALA LUMPUR – Duopharma Biotech Berhad terus mengukuhkan kedudukan sebagai peneraju global dalam industri farmaseutikal halal apabila menerima kunjungan delegasi Institut Piawaian dan Metrologi bagi Negara Islam (SMIIC) di fasiliti pengeluarannya di Klang, baru-baru ini.

Lawatan teknikal itu dianjurkan oleh Jabatan Standard Malaysia (DSM) bersempena Minggu Jawatankuasa Teknikal SMIIC ke-14 yang berlangsung di ibu negara dari 22 hingga 26 September lalu.

Seramai 30 pakar teknikal daripada negara anggota SMIIC hadir bagi meninjau amalan terbaik dalam industri farmaseutikal halal Malaysia, yang dipelopori oleh Duopharma Biotech melalui pendekatan “Halal Built-In, Not Tested For” – memastikan setiap proses pengeluaran menepati piawaian halal sejak dari peringkat pembangunan produk.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Duopharma Biotech, Wan Amir-Jeffery Wan Abdul Majid berkata, syarikat berbangga dapat mempamerkan keupayaan pengeluaran halal yang mematuhi Amalan Pengilangan Baik (GMP) dan piawaian MS2424:2019 serta OIC SMIIC 50-1.

“Sebagai perintis farmaseutikal halal sejak 1998, kami komited menghasilkan produk yang selamat, berkualiti dan diyakini, sejajar dengan kerjasama erat bersama JAKIM, DSM dan Halal Development Corporation (HDC). Dengan nilai pasaran halal farmaseutikal global dijangka mencecah AS$5.9 bilion menjelang 2030, Malaysia berada pada kedudukan terbaik untuk memimpin perkembangan ini,” katanya.

Sementara itu, Dr. Mohammed Ali Alsheikh daripada SMIIC Technical Committee berkata, lawatan tersebut membolehkan pihaknya menilai pelaksanaan ekosistem halal Malaysia yang kukuh, hasil kerjasama erat antara industri dan agensi pengawal selia seperti DSM dan JAKIM.

“Kami tertarik melihat bagaimana pengeluar utama seperti Duopharma Biotech menggantikan bahan larangan, menyesuaikan talian pengeluaran serta memanfaatkan teknologi digital seperti blockchain, IoT dan AI bagi meningkatkan ketelusan dan kebolehkesanan dalam proses pengeluaran,” katanya.

Fasiliti pengeluaran Duopharma Biotech di Klang menghasilkan pelbagai produk halal termasuk tablet, kapsul, sirap, antibiotik oral, krim, larutan hemodialisis, suntikan serta ubat mata untuk pasaran domestik dan antarabangsa.

Sejak memperoleh pensijilan halal JAKIM pada 1999 bagi jenama pengguna seperti CHAMPS®, FLAVETTES®, PROVITON® dan NATURALLE, Duopharma menjadi pengeluar pertama menerima pensijilan halal untuk ubat preskripsi (2017), rawatan kanser (2022) serta produk bagi pesakit buah pinggang kronik (2025).

Syarikat itu turut menganjurkan Simposium Farmaseutikal Halal setiap tahun sejak 2016 bagi memperkukuh kolaborasi global dan membangunkan piawaian halal sejagat.

Dalam usaha memperkukuh akses kepada ubat penting, Duopharma Biotech juga menyokong strategi keselamatan ubat kerajaan dengan memastikan bekalan insulin manusia rekombinan (RHI) mencukupi, menerusi kerjasama strategik bersama Biocon.

Langkah ini bukan sahaja memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai pusat rujukan farmaseutikal halal dunia, malah menegaskan keupayaan industri tempatan melangkah ke tahap lebih tinggi dalam sektor bioperubatan patuh syariah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *