Sekolah kampung rangkul juara pertandingan dron antarabangsa
MELAKA – Sebuah sekolah kampung di Perlis mencipta sejarah apabila muncul juara dalam pertandingan Malaysia Techlympics 2025, menewaskan pasukan pilihan dari China, Kemboja dan beberapa negara Asia lain.
Lebih membanggakan, pasukan D’lobo Nexus dari Sekolah Kebangsaan (SK) Long Boh yang dianggotai dua murid berusia 12 tahun, Muhammad Eiman Rayyan Adi Yusrin dan Ameer Firash Muhammad Fauzi memenangi pertandingan itu selepas hanya setahun mempelajari asas pengendalian dron dan coding.
Berbekalkan latihan ringkas tetapi konsisten, pasukan itu membuktikan sekolah luar bandar mampu mengukir nama di pentas global.
Jurulatih merangkap guru pembimbing, Nor Heslee Mat, 44, berkata, beliau sendiri tidak menyangka anak didiknya mampu menewaskan peserta antarabangsa dalam Cabaran Skytech Global (G-Sky), yang merupakan juara di negara masing-masing.
“Sehingga hari ini saya masih berasa seperti bermimpi. Tugasan final sangat sukar dan saingannya sengit. Kami hanyalah sekolah kampung di tepi sawah padi, tetapi usaha tanpa henti kedua-dua pelajar, termasuk berlatih pada hari cuti, benar-benar membuahkan hasil,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Nor Heslee, kejayaan itu membuktikan tiada apa yang mustahil bagi sebuah sekolah kampung atau pedalaman untuk menyerlah di peringkat global, asalkan potensi pelajar digilap dan mereka diberikan peluang serta bimbingan yang betul.
Menurut Nor Heslee, modul asas yang disediakan penganjur Malaysia Techlympics banyak membantu pelajar menguasai dron dan penyelesaian tugasan pertandingan, selain meningkatkan kemahiran Bahasa Inggeris serta kemampuan pemikiran kritis.
“Di SK Long Boh, hanya ada 160 murid dan kebanyakan mereka anak petani. Mereka mungkin kurang fasih berbahasa Inggeris, tetapi setelah berlatih dan menyertai Techlympics, keyakinan serta kemahiran ‘critical thinking’ mereka meningkat dengan sangat ketara,” jelasnya.
Selain kejayaan dalam kategori G-Sky, SK Long Boh turut menyertai tiga lagi kategori iaitu Cabaran Siasatan Jenayah (CSI), Pemikiran Komputasi (EZ Bot) dan Cabaran EZ Rover (FC-1).
Dengan kemenangan tersebut, pasukan D’lobo Nexus kini layak mewakili Malaysia ke pertandingan dron antarabangsa Pilot X di Hong Kong pada Januari tahun depan.
Sementara itu, pasukan dari Pahang dinobatkan sebagai juara keseluruhan Malaysia Techlympics 2025 selepas membawa pulang 12 pingat di peringkat akhir kebangsaan.
Program berprestij itu turut mencatat sejarah apabila meraih dua pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) iaitu ‘Penyertaan Terbesar dalam Pertandingan STEM Belia Antarabangsa’ dan ‘Bilangan Dron Terbanyak Diterbangkan Serentak di Dalam Bangunan’.