KOTA BHARU: Polis Kelantan melancarkan Ops Tutup di seluruh negeri termasuk di sempadan selepas 10 pendatang asing tanpa izin (PATI) meloloskan diri dari Depot Imigresen Tanah Merah, hari ini.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, kejadian berlaku pukul 3 pagi dan kesemua PATI terbabit kini sedang diburu.
Menurut beliau, pihaknya turut mempertingkatkan kawalan di kesemua pos kawalan sempadan terutama di Rantau Panjang.
“Semuanya sudah dimaklumkan awal pagi tadi,” katanya seperti dilaporkan portal Sinar Harian hari ini.
Menurutnya, kesemua PATI itu merupakan tujuh warga Thailand, serta masing-masing seorang warga Indonesia, Bangladesh dan pelarian Myanmar.
Mereka dipercayai memakai pakaian hijau terang yang merupakan pakaian tahanan dan dilaporkan berkepala botak.
Terdahulu, tular di media sosial berkenaan dakwaan 10 PATI melarikan diri dari Depo Imigresen Tanah Merah dengan lokasi terakhir mereka di Bukit Tebu.
Menerusi hantara itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak mengambil sebarang tindakan sendiri dan menyerahkan kepada pihak berkuasa dengan menghubungi talian 09-9556222 atau 09-9556223. – PentasDaily

