Tangkap layar video tular di media sosial berkenaan aktiviti lumba haram di Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua), semalam.

KUALA LUMPUR: Polis sedang mengesan sekumpulan individu yang dipercayai menutup laluan bagi memberi ruang kepada kegiatan lumba haram di Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua), semalam.

Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman dalam satu kenyataan hari ini berkata, semakan mendapati kejadian itu berlaku dari arah Susur Tol Senai Utara hingga Susur Johor Premium Outlet (JPO).

Menurut kenyataan itu, JSPT menerima laporan berhubung video berkenaan dan siasatan kini dijalankan bagi mengenal pasti penunggang motosikal serta individu lain yang berada di lokasi kejadian.

“Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kulai turut menjalankan siasatan susulan penyebaran video terbabit selain pihak polis juga telah berhubung dengan pihak PLUS Malaysia Berhad bagi mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi.

“Seorang individu yang dipercayai berada di lokasi turut telah dikenal pasti,” katanya hari ini.

Terdahulu, tular di media sosial video berdurasi 33 saat yang memaparkan dua penunggang motosikal dipercayai sedang berlumba termasuk melakukan aksi Superman di lebuh raya.

Turut kelihatan beberapa individu lain dipercayai berada di tepi lebuh raya sambil menyaksikan perlumbaan berkenaan.

Dalam video sama, beberapa pemandu dilihat memberhentikan kenderaan masing-masing seolah-olah memberi laluan kepada aksi perlumbaan itu sehingga menimbulkan rasa kemarahan banyak pihak.

Sementara itu, JSPT memaklumkan siasatan lanjut masih dijalankan dan sebarang perkembangan berkaitan kes berkenaan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa. – PentasDaily

By Editor3

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *