Kamarul Baharin Mansor

KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mencadangkan gaji kehidupan wajar sebanyak RM3,100 sebulan dijadikan sebagai rujukan dalam menetapkan kadar minimum baharu.

Setiausaha Agungnya, Kamarul Baharin Mansor berkata, cadangan itu dianggap munasabah dengan mengambil kira realiti semasa.

Antaranya, kata beliau, melihat kepada faktor peningkatan kos sara hidup, inflasi, harga makanan, perumahan, pengangkutan dan keperluan asas yang semakin meningkat.

“Kadar gaji minimum di mulakan dengan RM900 pada tahun 2013 dan secara berperingkat dinaikan sehingga RM1,700 pada tahun 2024.

“Elemen produktiviti, inflasi, gaji penengah telah diambil kira semasa menentukan gaji minimum setiap masa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kamarul Baharin menambah, kerajaan perlu menambah baik dasar gaji minimum dengan mewajibkan struktur skala gaji di adakan agar pekerja tidak tertinggal kebelakang dan terbiar dari proses peningkatan pendapatan.

Ini kerana menurutnya, terdapat pekerja yang masih menerima gaji RM1,700 walaupun telah berkhidmat selama 10 tahun disebabkan ketiadaan struktur gaji.

Ujarnya, MTUC mengharapkan perlaksanaan struktur skala gaji minimum bukan hanya memberikan peningkatan pendapatan golongan bergaji rendah, namun kesannya harus merebak kepada kumpulan pekerja berpendapatan pertengahan.

“Pendekatan sedemikian bukan sahaja membantu mengurangkan ketidakpadanan kemahiran, taraf pendidikan dan pengalaman malah membolehkan syarikat memperoleh bakat berkualiti, sekali gus menyokong pertumbuhan produktiviti dan gaji,” katanya.

Tambahnya, MTUC juga akan bersama-sama dengan kerajaan untuk memberi idea dan pandangan dalam Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN), namun menegaskan tidak akan sesekali menjadi ‘pak turut’untuk menjaga hati pihak lain.

“MTUC bertegas bahawa kenaikan kadar gaji minima baharu adalah bukti pekerja diutamakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya. – PentasDaily

By Editor3

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *