KUALA LUMPUR: Unifi TV menawarkan akses percuma kepada seluruh barisan salurannya kepada semua individu di Malaysia, termasuk bukan pelanggan Unifi, bermula 31 Ogos hingga 30 September ini.

Tawaran khas bersempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia itu ada bagi meraikan ulang tahun ke-80 Telekom Malaysia (TM).

Menerusi promosi berkenaan, orang ramai berpeluang menikmati saluran eksklusif HBO dan Cinemax yang lazimnya hanya tersedia menerusi pakej berbayar.

Pengguna turut boleh menyaksikan pelbagai acara sukan secara langsung menerusi SPOTV dan beIN SPORTS, termasuk perlumbaan Formula 1 Pirelli Gran Premio d’Italia 2026 serta MotoGP San Marino Grand Prix.

Selain itu, kandungan hiburan seperti Anugerah Primetime Emmy ke-78 menerusi HITS NOW turut ditawarkan, selain kandungan tempatan termasuk program Bisikan Pontianak di saluran DEGUP.

Akses percuma itu boleh dinikmati menerusi televisyen pintar yang serasi, kotak Android TV, telefon mudah alih dan tablet.

Pengguna hanya perlu mendaftarkan akaun menggunakan alamat e-mel menerusi aplikasi Unifi TV 2.0 untuk menikmati saluran berkenaan tanpa memerlukan maklumat kad kredit, bayaran atau langganan perkhidmatan Unifi yang aktif.

Selepas tempoh promosi berakhir pada 30 September, Unifi TV akan memperkenalkan barisan tetap sebanyak 22 saluran percuma bermula 1 Oktober depan.

Barisan berkenaan menggabungkan 16 saluran televisyen percuma sedia ada dengan enam saluran premium iaitu DEGUP HD, Dunia Sinema HD, Sensasi HD, Inspirasi HD, Pesona HD dan Al Jazeera.

Pengguna yang mendaftarkan akaun sepanjang tempoh promosi pula akan terus dipindahkan secara automatik kepada barisan 22 saluran percuma itu tanpa perlu membatalkan akaun atau membuat pendaftaran baharu.

Langkah berkenaan memberi peluang kepada lebih ramai rakyat menikmati kandungan televisyen dan hiburan secara percuma, selain memperluas akses kepada perkhidmatan Unifi TV tanpa mengira status pelanggan.

By admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *