KUALA LUMPUR: Tiga buah premis yang dikendalikan warga asing tanpa lesen perniagaan sah diarahkan tutup serta-merta oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
DBKL dalam satu kenyataan memaklumkan, kesalahan itu dikesan dalam Operasi Tindakan Khas Premis Warga Asing di sekitar Jalan Alor, Bukit Bintang yang dijalankan semalam.
Menurutnya, hasil daripada operasi tersebut, sebanyak 15 notis kompaun telah dikeluarkan oleh Penguatkuasa DBKL melibatkan pelbagai kesalahan.
Antaranya termasuk pembantu tanpa kebenaran, pemilik lesen tiada di lokasi, menjaja tanpa lesen dan lain-lain kesalahan am menerusi Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (WPKL) 2016, serta Undang-Undang Kecil Pelesenan Petempatan Makanan (WPKL) 2016 dan Akta Kerajaan Tempatan 1976.
“Sebanyak enam sitaan dan pindah barangan ke atas penjaja tanpa lesen turut dilaksanakan di bawah UUK Pelesenan Penjaja (WPKL) 2016,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, katanya, Pegawai Kesihatan DBKL turut mengeluarkan dua notis kompaun dan menutup satu premis setelah terdapatnya urungan najis tikus dan urungan lipas di dalam premis.
Selain itu, turut didapati lantai dan dinding premis dalam keadaan kotor dan berdaki hitam, premis menyimpan ikan hidup dan menjalankan aktiviti menyiang ikan tanpa lesen, meletakkan makanan di atas lantai serta tidak menyelenggara perangkap minyak menerusi kesalahan di bawah Undang-Undang Kecil Pelesenan Petempatan Makanan (WPKL) 2016.
“DBKL akan meneruskan tindakan dan pemantauan dari semasa ke semasa.
“Sebarang aduan atau maklum balas, orang awam boleh berhubung atau menyalurkan maklumat dipautan tertera seperti berikut: https://adukl.dbkl.gov.my/,” katanya. – PentasDaily

