JOHOR BAHRU: Polis mengesahkan menerima laporan berhubung video tular memaparkan sebuah kereta dipandu secara gopoh sebelum melanggar kerusi dan meja sebuah gerai makan di Taman Sentosa, di sini.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Azrul Hisham Mohd Shaffei berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 28 September lalu kira-kira pukul 2.27 pagi daripada seorang lelaki berusia 41 tahun yang bekerja sebagai juruteknik.
Menurutnya, pengadu ketika kejadian sedang makan di sebuah warung bubur di Taman Sentosa sebelum didatangi suspek yang dipercayai memandu sebuah kereta secara berbahaya.
“Pengadu mendakwa suspek dipercayai warga negara asing yang turun daripada sebuah kereta sambil membawa sebatang paip besi sebelum menghayunkannya ke arah pengadu.
“Bagaimanapun, pengadu sempat mengelak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kejadian itu turut dirakam dan dimuat naik ke media sosial sebelum tular, memaparkan sebuah kereta dipandu secara gopoh serta melanggar kerusi dan meja gerai makan sebelum beredar dari kawasan Taman Sentosa. -PentasDaily

