PMX Selit Gurauan ‘Seram’ Ketika Berucap di Hadapan Trump
KUALA LUMPUR — Suasana majlis perjanjian damai antara Thailand dan Kemboja di Kuala Lumpur hari ini bertukar ceria apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) menyelitkan gurauan spontan ketika dijemput berucap oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
Dalam ucapannya, Anwar pada mulanya memuji keberanian Trump yang disifatkan sebagai pemimpin berani memperjuangkan keamanan global, sebelum menyelitkan gurauan berunsur sinis yang mengundang tawa hadirin.
“Dunia memerlukan pemimpin yang berani mempertahan dan memperjuangkan keamanan. Kadangkala, untuk mencapai keamanan itu, kita perlu melanggar sedikit peraturan. Seperti yang dilakukan Presiden Trump kepada saya hari ini,” katanya sambil disambut gelak ketawa para delegasi.
Beliau kemudian menceritakan insiden kecil sebelum majlis apabila Presiden Trump mempelawanya menaiki kenderaan rasmi Amerika Syarikat, sesuatu yang menurutnya “melanggar protokol keselamatan.”
“Saya menolak dengan baik, tetapi beliau tetap bertegas. Akhirnya saya bersetuju, dan ternyata ia satu perjalanan yang baik,” selorohnya.
Trump yang turut berada di pentas menyampuk secara bersahaja: “It was a nice ride!”, disambut tawa oleh para hadirin.
Namun, detik yang paling mencuri perhatian ialah apabila Anwar melanjutkan gurauan itu dengan menyentuh pengalaman peribadi beliau, sekali gus mencipta suasana “lawak seram” di dewan.
“Saya dan Presiden Trump ada sedikit persamaan — saya pernah dimasukkan ke dalam penjara, sementara beliau pula hampir dimasukkan ke dalam penjara,” katanya sambil disambut gelak tawa bercampur reaksi terkejut daripada sebahagian hadirin.
Selain elemen gurauan, Anwar turut mengambil kesempatan menyentuh isu Gaza secara halus, menyatakan bahawa keprihatinan terhadap krisis kemanusiaan di wilayah itu tidak seharusnya dibatasi oleh protokol diplomatik.
“Saya tahu saya melanggar sedikit protokol kerana tidak memaklumkan kepada Senator Marco Rubio terlebih dahulu. Namun, kita semua sedar, isu Gaza adalah soal kemanusiaan sejagat,” ujarnya disambut tepukan gemuruh hadirin.
Ucapan santai namun berisi itu mencerminkan pendekatan diplomasi peribadi Anwar yang menggabungkan ketegasan prinsip dengan sentuhan humor — menjadikan sesi berprofil tinggi itu bukan sahaja berisi mesej keamanan, tetapi juga memperlihatkan hubungan diplomatik yang lebih mesra antara Malaysia dan Amerika Syarikat dalam kerangka Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47.