KUALA LUMPUR: Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil berpandangan istilah ‘menunggang agama’ tidak wajar untuk disebarkan dan digunakan secara berleluasa dalam kalangan awam.
Ini kerana, katanya, ia membawa kepada generalisasi terhadap semua golongan yang terlibat dalam agama tanpa membezakan antara mereka yang ikhlas dan tidak.
Sedangkan, ujar beliau, lebih ramai golongan yang ikhlas dalam memperjuangkan dan meninggikan syiar agama ini daripada para ulama, pendakwah dan asatizah.
“Oleh yang demikian, kami menasihati semua pihak tanpa mengira apa jua kedudukannya supaya berhati-hati dalam menggunakan istilah agama kerana bermudah-mudah menggunakan istilah ini boleh membawa kepada kerosakan pada pemikiran dan amalan,” katanya menerusi Tinta Mufti Wilayah Persekutuan hari ini.
Tambahnnya, apa yang lebih baik adalah dirujuk sebagai ‘eksplotasi agama’ yang memberi makna yang lebih tepat dan konotasi yang lebih objektif terhadap perbuatan tersebut.
Hal ini kerana, jelasnya, istilah “eksploitasi agama” memfokuskan kepada perbuatan atau tindakan itu sendiri iaitu proses menyalahgunakan sesuatu di luar had yang wajar untuk kepentingan sendiri.
Berbanding istilah “menunggang”, ujar beliau, ia lebih berkonotasi negatif, kasar dan cenderung membawa sindiran serta tuduhan peribadi terhadap pelaku.
“Selain itu, istilah ‘eksploitasi agama’ turut lebih tepat menggambarkan struktur hubungan kuasa dalam fenomena tersebut iaitu wujudnya pihak yang mengambil kesempatan (mengeksploitasi) dan pihak yang dieksploitasi (orang awam yang tertipu atau diperdaya), sejajar dengan makna sebenar dalil-dalil daripada al-Quran dan Sunnah,” katanya. – PentasDaily

