Antara penunggang motosikal yang ditahan polis dalam operasi di Putrajaya.

PUTRJAYA: Sebanyak lima buah motosikal ditemukan ditinggalkan oleh penunggang di bawah jejambat Lebuh Wawasan di sini, susulan Ops Bersepadu Samseng Jalanan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT), Ibu Pejabat Daerah (IPD) Putrajaya.

Motosikal itu antara 14 buah kenderaan termasuk sebuah kereta yang disita sepanjang operasi yang dijalankan semalam dan kelmarin, bermula jam 11 malam hingga 8 pagi, di sekitar Lebuh Sentosa melibatkan laluan dari KM2.9 hingga KM4.0.

IPD Putrajaya dalam satu kenyataan berkata, operasi itu digerakkan dengan kekuatan seorang pegawai dan 21 anggota terdiri dari BSPT IPD Putrajaya; Unit MPV dan URB JPJKK IPD Putrajaya dan anggota Balai Polis Presint 7.

Menurutnya, operasi itu memberi tumpuan kepada pemeriksaan, rondaan dan pemantauan terhadap pengguna jalan raya serta kumpulan motosikal yang disyaki terlibat dalam aktiviti samseng jalanan dan lumba haram.

Ujarnya, tindakan penguatkuasaan itu turut mengambil kira aduan masyarakat berkaitan gangguan bunyi bising dan aktiviti kumpulan motosikal (mat rempit) di sekitar Putrajaya.

“Hasil operasi sebanyak 14 buah kenderaan yang terdiri daripada 13 buah motosikal dan sebuah kereta telah disita di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. “Sebanyak 35 keping saman Pol. 257 telah dikeluarkan. Tiada tangkapan dibuat sepanjang operasi,” katanya hari ini.

Tambahnya, selain aspek penguatkuasaan, operasi turut disusuli dengan pengisian kerohanian melalui solat subuh secara berjemaah serta sesi advokasi berkaitan bahaya lumba haram dan samseng jalanan.

Katanya, pendekatan itu dilaksanakan sebagai usaha memberi kesedaran kepada anggota serta masyarakat, khususnya golongan muda, agar tidak terlibat dalam aktiviti yang boleh membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain.

“Kepada masyarakat, teruskan salurkan maklumat dan aduan kepada pihak berkuasa.

“Kerjasama anda amat penting dalam membantu PDRM membanteras aktiviti yang mengganggu keselamatan dan ketenteraman awam,” katanya. – PentasDaily

By admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *