Pesawat Kargo UPS Terhempas di Kentucky, Tiga Maut dan Ramai Cedera
KENTUCKY – Sekurang-kurangnya tiga maut apabila sebuah pesawat kargo milik United Parcel Service (UPS) terhempas ketika berlepas dari Lapangan Terbang Muhammad Ali, Louisville, semalam, sekali gus mencetuskan kebakaran besar dan mengakibatkan ramai di kawasan sekitar tercedera.
Menurut Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat (FAA), pesawat yang dikenali sebagai Flight UPS 2976 itu terhempas kira-kira pukul 5.15 petang waktu tempatan (5.15 pagi waktu Malaysia) ketika dalam perjalanan menuju ke Honolulu, Hawaii.
Gabenor Kentucky, Andy Beshear, dalam sidang media mengesahkan sekurang-kurangnya tiga kematian namun jumlah sebenar dijangka meningkat.
“Setakat ini, kita percaya terdapat sekurang-kurangnya tiga korban jiwa dan 11 yang cedera, beberapa daripadanya parah. Angka ini dijangka meningkat apabila usaha mencari dan menyelamat diteruskan,” katanya.
Rakaman udara di lokasi menunjukkan sisa serpihan bertaburan, manakala pasukan bomba berusaha memadam kebakaran besar dengan kepulan asap tebal kelihatan menjulang tinggi.
Beshear turut memaklumkan bahawa pesawat terbabit terhempas ke atas dua premis perniagaan tempatan, masing-masing sebuah syarikat kitar semula petroleum dan sebuah kilang alat ganti kenderaan.
Datuk Bandar Louisville, Craig Greenberg, menyifatkan kejadian itu sebagai “tragedi luar biasa” yang menggoncang komuniti setempat.
“Kami telah menggerakkan semua agensi kecemasan ke lokasi kejadian. Terdapat banyak kecederaan dan kebakaran masih marak. Orang ramai diminta menjauhi kawasan tersebut kerana banyak jalan utama ditutup,” katanya dalam satu kenyataan di media sosial.
Pesawat jenis McDonnell Douglas MD-11 itu dilaporkan membawa tiga anak kapal, namun pihak UPS belum mengesahkan status mereka.
Dalam kenyataan awal, syarikat itu hanya memaklumkan sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi membantu siasatan.
FAA dan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB) telah memulakan siasatan penuh berhubung punca nahas.
Lapangan terbang berkenaan kini ditutup sementara, menyebabkan operasi UPS Worldport, pusat hab kargo udara terbesar di dunia, turut terjejas.
Insiden itu dijangka memberi kesan rantaian kepada penghantaran global, termasuk kepada pelanggan utama UPS seperti Amazon, Walmart dan Perkhidmatan Pos Amerika Syarikat (USPS).