Apa Membezakan Hurricane, Typhoon Atau Cyclone
3 mins read

Apa Membezakan Hurricane, Typhoon Atau Cyclone

Setiap kali apabila berlaku ribut besar yang mengorbankan banyak nyawa di luar negara, kita akan disajikan dengan pelbagai istilah seperti typhoon, hurricane dan cyclone. Perkataan ini tidak dapat tidak akan mencetuskan persoalan mengenai kenapa wujud nama-nama yang berbeza dan apakah yang menentukannya?

Mari kita lihat bagaimana fenomena ini dinamakan dan apa yang membezakan antara satu dengan yang lain.

Sama Kuasa, Nama Berbeza

Sebenarnya, hurricane, taufan dan cyclone semuanya adalah fenomena yang sama iaitu ribut tropika yang terbentuk di atas lautan panas berhampiran Khatulistiwa. Ia berputar dengan ganas, membawa angin ribut dan hujan lebat yang mampu melanda daratan dengan kesan yang memusnahkan.

Yang membezakannya hanyalah lokasi geografi di mana ia terbentuk:

Di Lautan Atlantik dan Laut Caribbean, ia dipanggil hurricane.

Di barat laut Pasifik, termasuk Filipina dan Jepun, ia dikenali sebagai taufan atau typhoon.

Di Teluk Benggala dan Laut Arab, ribut itu dinamakan cyclone.

Sementara di selatan Lautan Hindi dan Pasifik barat daya, istilah yang digunakan ialah severe tropical cyclone.

Dengan kata lain, tiga istilah ini hanyalah versi serantau bagi sistem ribut tropika yang sama.

Bagaimana ia layak dinamakan?

Namun tidak semua ribut di laut layak mendapat nama. Menurut pakar meteorologi, sesuatu sistem cuaca mula dinamakan apabila kelajuan anginnya mencapai 63 kilometer sejam (km/j), dan diklasifikasikan sebagai taufan atau hurricane apabila mencecah 119 km/j.

Kekuatan taufan pula diukur dalam lima kategori, dengan Kategori 5 menandakan ribut paling ekstrem angin melebihi 249 km/j.

Sebagai contoh, Taufan Tino (nama antarabangsa: Kalmaegi) yang melanda Filipina baru-baru ini termasuk dalam kategori kuat, mencatat 213 km/j pada puncak kekuatannya. Untuk rekod, Hurricane Patricia pada tahun 2015 pernah mencapai kelajuan angin luar biasa iaitu 345 km/j, menjadikannya antara yang terkuat dalam sejarah moden.

Arah Putaran dan Musim

Menariknya, arah putaran ribut bergantung pada lokasi hemisfera. Di utara khatulistiwa, ribut berputar melawan jam. Di selatan, putarannya pula mengikut arah jam.

Musim pembentukan pula berbeza-beza:

Atlantik & Pasifik Tengah: Jun hingga November

Pasifik Barat Laut: Hampir sepanjang tahun, puncak pada Mei hingga November

Australia & Lautan Hindi Selatan: November hingga April

Bagi rantau Asia Tenggara, termasuk Filipina dan Vietnam, bulan-bulan hujung tahun lazimnya menjadi masa paling aktif bagi pembentukan taufan.

🌊 Kenapa Asia Sering Jadi Tumpuan Ribut?

Kawasan Pasifik Barat Laut dikenali sebagai ‘pusat kelahiran taufan’ dunia. Perairannya yang sentiasa hangat dan kelembapan udaranya yang tinggi menjadikan ia lokasi ideal bagi pembentukan ribut tropika.

Faktor tambahan seperti Madden-Julian Oscillation (MJO) iaitu satu corak gangguan atmosfera yang bergerak dari Lautan Hindi ke arah timur dan turut menjadi pencetus utama kepada peningkatan aktiviti ribut di rantau ini.

🌦️ Fenomena Alam Yang Perlu Difahami

Walaupun menakutkan, ribut tropika sebenarnya memainkan peranan penting dalam mengimbangi haba global dan menggerakkan kelembapan atmosfera. Ia sebahagian daripada sistem semula jadi bumi untuk menstabilkan cuaca tropika.

Namun bagi kita, setiap kali nama seperti Tino, Patricia atau Tip disebut dalam berita, ia bukan sekadar data meteorologi tetapi peringatan tentang kekuatan alam yang tidak boleh dipandang ringan.

Sama ada dipanggil hurricane, taufan atau cyclone, semuanya membawa mesej yang sama iaitu kemusnahan dan malapetaka.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *